MB: Tawaran semula untuk Kerajaan Pusat beli syarikat konsesi air

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid berkata, pihaknya akan membuat tawaran semula untuk membeli aset empat syarikat konsesi air Selangor sepertimana yang dikendaki oleh kerajaan pusat.

Menurut Khalid, menerusi surat yang diterimanya kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri dibenarkan untuk membuat tawaran semula dengan kos RM6 bilion.

“Saya telah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, semalam telah bersetuju membenarkan kerajaan negeri membuat tawaran tentang penyusunan semula air.

” Saya akan membuat dokumen penawaran pembelian tersebut yang bernilai melebihi RM6,000 juta kepada konsesi-konsesi air ini.Saya turut berterima kasih kepada pihak polis dan Istana Negara dalam usaha memanjangkan hasrat rakyat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan,” ujar Khalid lagi, selepas berjaya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini, hari ini.

Hari ini menyaksikan lebih 15,000 rakyat berpakaian baju merah membanjiri ibu kota bagi menyertai himpunan aman ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’ anjuran kerajaan negeri.

Himpunan tersebut bagi menyampaikan bantahan mengenai kenaikan harga air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan restu kerajaan persekutuan Umno- Barisan Nasional (BN).

Kerajaan negeri sebelum ini membuat tawaran untuk membeli aset air di Selangor dengan nilai RM5.7 bilion untuk kesemua syer-syer bukan milik kerajaan negeri dalam Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abbas.

Adalah difahamkan kerajaan pusat pula menawarkan RM9.7 bilion untuk mengambil alih aset keempat-empat syarikat berkenaan.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, turut mengesahkan hal sama.

” Itu yang diberitahu kepada saya, saya pun ada mendengar sendiri dan itu adalah jumlah asal yang ditawarkan pertama kali dahulu,” kata Dr Dzul ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Malah ujarnya, ia merupakan satu perkembangan baik kepada Selangor.

” Dari satu sudut, ya kerana memandangkan Kerajaan Pusat memang mahu membawa kita ke meja perundingan dan kita juga bersedia untuk berunding.

“Jika mereka benar-benar mahu kita berunding, bagus kerana kita memang bersedia untuk membeli (syarikat berkenaan), maka ini satu perkembangan positif.

“Ini merupakan satu petanda bagus apabila kerajaan pusat minta kerajaan negeri untuk berunding dengan syarikat konsesi, kerana isu ini telah tertangguh untuk tempoh yang agak lama,” tambahnya lagi.

No comments

Powered by Blogger.