Memorandum ditandatangani 150,000 penyokong kerajaan Selangor, diserah kepada Yang di-Pertuan Agong

SHAH ALAM, 5 Dis – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan kepada Seri Paduka Baginda berhubung isu pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Selangor dari syarikat konsesi yang telah tertangguh lebih dua tahun lalu di Istana Negara, hari ini,

Beliau menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman yang menerimanya bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 2.15 petang.

Memorandum itu disokong 150,000 rakyat Selangor yang menandatangani memorandum berkenaan.

Memorandum tersebut antara lain memohon Yang di-Pertuan Agong agar:

1. Menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambilalihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2. Mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik untuk mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

3. Menghak upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

4. Mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam isu berkaitan perkhidmatan air kerana perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan.

5. Mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme kerana telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya.

Menteri Besar berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong perhimpunan ini dan menyeru agar mereka terus menyokong usaha Kerajaan Selangor mengambil alih industri air.

“Kerajaan Persekutuan membelakangkan kepentingan rakyat dalam isu air. Mereka sepatutnya bersama menyokong kerajaan negeri untuk menghentikan perjanjian tidak adil yang hanya memberi kebaikan kepada syarikat konsesi sedangkan kebajikan dan kepentingan rakyat terus dilupakan,” kata Menteri Besar.

Menteri Besar juga kesal dengan polis yang tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman diadakan sehingga berlaku tangkapan melebihi 50 orang.

“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” kata Menteri Besar.

No comments

Powered by Blogger.