Rekod buruk pertama KPN baru

PETALING JAYA: Tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memukul dan menahan 52 penunjuk perasaan dalam perhimpunan aman di perkarangan Masjid Negara Ahad lalu mengenai bantahan kenaikan tarif air mencalar integriti dan kredibiliti Ketua Polis Negara (KPN) yang baru, Tan Sri Ismail Omar.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata, "rekod buruk pertama Ketua Polis baru ini membuktikan bahawa PDRM masih berterusan mengamalkan sikap “double standard” dalam melaksanakan tugas.

"Ini menguatkan lagi dakwaan bahawa kesemua institusi kerajaan kini, termasuk PDRM dan FRU telah diperkudakan demi kepentingan politik Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata, sikap angkuh kerajaan Pusat yang enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor demi kepentingan rakyat, menunjukkan seolah kerajaan Pusat turut bersubahat dalam ‘rompakan besar-besaran hak rakyat’ oleh Syabas.

"Sikap tidak adil PDRM, apabila penyokong dan warga Selangor yang ingin menuntut keadilan telah ditahan dan disekat secara ganas dengan menggunakan water cannon dan gas pemedih mata.

"Sebaliknya GAPS (Gabungan Anti Penyelewangan Selangor) yang lebih jelas berunsur perkauman dan mencetuskan provokasi dibenarkan berhimpun dan melakukan huru-hara," terang beliau.

Menurut beliau, profesionalisme PDRM juga layak dipersoalkan kerana bersikap biadap dengan tidak menghormati Masjid Negara sebagai premis rumah ibadah apabila berterusan gas pemedih mata dilepaskan di perkarangan masjid sehinggakan menjejaskan orang awam yang sedang bersolat.

"Perlakuan ganas pihak berkuasa ini benar-benar telah memalukan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi membangun, sekaligus amat bertentangan dengan hasrat bersama untuk memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara bertaraf maju dan kerajaan yang mementingkan rakyat," katanya.

No comments

Powered by Blogger.