Salahudin kesal SPRM 'abai' kes MAS, 'cepat' kes Rosli Dahlan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Salahuddin Ayub kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang cepat mahu membuat rayuan terhadap kes peguam kanan Rosli Dahlan.

Salahudin yang juga anggota jawatankuasa khas suruhanjaya itu berkata, SPRM sebaliknya dilihat masih berdolak dalih untuk bertindak ke atas bekas Pengerusi eksekutif MAS Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian syaraikat penerbangan itu.

"Saya terkilan dengan kenyataan SPRM tersebut untuk merayu terhadap kes En Rosli Dahlan kerana mereka tidak menunjukkan minat dan ketangkasan yang sama keatas aduan MAS yang dibuat terhadap Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian yang ditanggung MAS semasa diterajui oleh Tan Sri Tajudin.

"Dalam skandal Sime Darby yang terkini, tindakan sivil dan jenayah telah pun diambil tetapi Tan Sri Tajudin kelihatan kebal dari proses undang-undang. Rakyat bertanya kenapa bagitu jadinya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya lagi, umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan adalah peguam MAS yang mengendalikan kes terhadap Tan Sri Tajudin Ramli.

Juga umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan dikenakan pertuduhan semasa mewakili Datuk Ramli Yusuff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, yang telah mengesyorkan kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi bahawa Tan Sri Tajudin wajar dikenakan pendakwaan atas beberapa pertuduhan.

Pada 20 Disember lalu, Rosli bebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya.

Hakim Abu Bakar Katar memutuskan bahawa notis yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM Anthony Kevin Morais gagal membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusof.

Beliau juga memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Rosli secara sengaja gagal memberi maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan Morais.

Pada 12 Oktober, Rosli dihadapkan ke mahkamah kerana kerana dituduh gagal mematuhi notis untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya dalam tempoh dua bulan sebagaimana disyaratkan mengikut notis bertarikh 17 Julai, yang kemudiannya dilanjutkan ke 16 Ogos, satu kesalahan mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegah Rasuah 1997.

Rosli, 46, rakan kongsi sebuah syarikat guaman terkenal dan seorang rakan karib Ramli, pada hari tuduhan dibaca ke atasnya pada 12 Oktober, 2007 memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan terhadapnya sehari sebelum Aidilfitri akan menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan jika ke masjid esoknya untuk bersolat raya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zulqarnain Hassan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS itu berkata Rosli adalah peguam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengendalikan kes terhadap bekas pengerusi eksekutifnya Tan Sri Tajudin Ramli.

"Hal ini lebih mengecewakan kerana SPRM juga tidak menunjukkan sebaran reaksi terhadap pendedahan bahawa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail mempunyai hubungan mencurigakan dengan proksi Tan Sri Tajudin Ramli, seorang yang dikenali sebagai Shahidan Shafie iaitu bekas OKT dalam kes rasuah beberapa tahun dahulu.

"Hali ini telah pun dibangkitkan oleh Tan Sri Robert Phang, seorang Ahli Lembaga Penasihat SPRM. Tapi sehingga kini Peguam Negara masih membisu," kata Salahudin lagi.

Beliau juga jelasnya terpanggil untuk merujuk kepada ucapan En Rosli Dahlan bahawa dia dimangsakan kerana dikenakan pertuduhan lebih awal sedangkan pada masa itu Ramli masih belum pun dituduh atas sebarang kesalahan.

Dan kesudahannya ialah setelah Ramli dibebaskan, SPRM masih enggan menarik balik pertuduhan terhadap En Rosli.

"Ini menunjukkan seolah-olah terdapat elemen salah guna kuasa oleh pihak SPRM dan Peguam Negara.

"En Rosli juga menuduh bahawa terdapat konspirasi membabitkan media arus perdana dengan “rogue elements in the government” atau elemen bajingan dalam kerajaan. Hali ini amatlah menggerunkan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.