Sasterawan yang menegur kepincangan sistem politik

Ramli Abdul Samad

Pada Nov 29 lalu, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sasterawan perlu memainkan peranan penting bagi mewujudkan gelombang pemikiran, nilai dan budaya yang secocok dengan nilai kemajuan. Kemajuan ini adalah selari dengan transformasi ekonomi dan sosial oleh kerajaan untuk mewujudkan masyarakat dan negara maju menjelang 2020.

Katanya, melalui karya sastera yang bermutu tinggi, para sasterawan dapat mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya menghayati nilai-nilai positif ke arah mewujudkan negara maju. Lihat ms.4 Utusan Malaysia (Nov 30, 2010).

Cendekiawan, wartawan dan pemimpin dari golongan menengah misalnya dalam satu hal mempunyai panggilan yang sama jika kita membicarakan tugas atau fungsinya terhadap masyarakat, bangsa dan negara. Ada pendapat mengatakan tugas wartawan adalah bagaimana mendidik masyarakat apabila perubahan sosial terjadi sementara tugas kaum intelektual adalah mengabdikan diri mereka dalam membangkitkan kemanusiaan dan manusia yang santun.

Apabila memperkatakan peranan sosial para sasterawan, masih teringat kita pada zaman pra-Merdeka dulu yang lebih terkenal dengan gerakan Asas 50. Ketika itu, para sasterawan mempunyai visi yang jelas iaitu bergiat untuk memutuskan belenggu pemikiran rakyat ke arah memerdekakan negara dari ikatan penjajah Inggeris.

Pada zaman itu, sasterawan merupakan pemikir zaman yang berani mencungkil dan melaporkan peristiwa-peristiwa zamannya untuk memberi pengajaran kepada rakyat. Walaupun sistem media massa dan komunikasi tidak begitu maju namun tidak dinafikan mereka dapat tampil ke hadapan memberikan sumbangan yang bermakna sehingga di antara mereka yang berjasa diberi penghormatan yang setimpal oleh pihak pemerintah.

Keadaan banyak berubah setelah Merdeka. Pemimpin kolonial diganti dengan pemimpin rakyat Malaysia sendiri. Musuh utama mereka yang dahulunya jelas adalah golongan kolonial kini terdiri daripada warga negara Malaysia sendiri. Para sasterwan semakin kurang pula menyelar para pemimpin itu walaupun ada di antara mereka yang masih bermentaliti lebih daripada pemimpin kolonial, dengan erti kata corak pentadbiran yang diteruskan masih bersifat kolonial daripada berorientasikan pada kesejahteraan rakyat.

Tanpa disedari ramai bahawa saat ini masih lagi ada segelintir elit yang mengaut keuntungan besar daripada proses pembangunan negara. Kemunduran desa masih jelas terutama di negeri-negeri yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu dan sebahagian lagi terdiri daripada golongan bukan Melayu. Gejala rasuah masih merajalela dalam masyarakat kita. Isu kesenjangan sosial-ekonomi masih merupakan isu besar yang melanda negara.

Konsep 'seni untuk rakyat' kembali mengakar umbi.

Hadiah sastera dan habuan

Slogan 'seni untuk rakyat' itu bergelora pada zaman sebelum Merdeka telah dapat diganti dengan 'seni untuk masyarakat'. Kita dapati gelombang perubahan politik dan sosial kian merancak dan sesuatu yang sesuai pada zaman mencabar sebelum Merdeka. Pada lahiriah pegangan konsep itu tiada cacatnya tetapi boleh terdedah kepada manipulasi dan muslihat segelintir golongan atasan penindas dan mereka cuba menyelubungi diri mereka kononnya mereka adalah 'pembela dan pembangunan masyarakat'.

Kita dapati khasnya sejak tahun 1977, kalangan pemerintah secara bersungguh-sungguh telah melaung-laungkan slogan ini telah menghidangkan pelbagai hadiah sastera serta lain-lain habuan bagi para sasterawan.

Mereka menceceh bahawa 'seni untuk masyarakat' itu mestilah bertemakan atau menyerapkan ciri-ciri 'pembangunan'. Ini bermaksud, apa yang dikehendakki oleh pemerintah adalah agar karya-karya seni dan sastera itu diusahakan untuk tujuan membantu dan mempopularkan lagi garis dan arus politik seperti yang dipegang dan dipersetujui oleh mereka yang berselindung di bawah berbagai-bagai istilah popular seperti 'pembangunan dan masyarakat adil'.

Seseorang sasterawan itu mempunyai senjata iaitu seninya yang dirangkaikan menerusi tinta penanya. Ia berpotensi mempengaruhi demi membentuk dan mewarnakan fikiran masyarakat. Ini dapat kita lihat dan kaji dari pengalaman sejarah seperti yang dicorakkan oleh gerakan Asas 50.

Sastera mencerminkan cara kehidupan anggota masyarakat dan peradaban manusia secara kreatif dan 'imaginative' di peringkat yang lebih tinggi dalam usahanya menggambarkan pergolakan hidup manusa menerusi bentuk prosa mahupun puisi. Kita tahu dunia masyarakat begitu luas dan kompleks sekali. Masalah sosial begitu luas dan seharusnya ditimba dalam hasil kesusasteraan yang bererti bukan sekadar mencuit-cuit perkara-perkara yang dangkal sahaja.

Keadaan sosio-politik pembangunan negara agak kompleks, kerana masyarakat kita majmuk dalam pelbagai seginya dan kesan-kesan kemajuan ekonomi tidaklah sama. Tidak sama pula hasil-hasil yang dirasakan. Mungkin pihak pemerintah dengan sepenuh hati, bahkan juga dengan hasil yang baik, berusaha sangat menjaringkan semua kelompok masyarakat dalam pelaksanaan pembangunannya. Misalnya untuk kelompok-kelompok masyarakat lemah pada sektor tradisional dan sektor informal, dirumuskan strateji khusus yang diberi perhatian dan penanganan khusus pula dalam perlaksanaannya.

Sekalipun demikian, baik kerana pembangunan memang memerlukan waktu, mahupun kerana kelemahan birokrasi dan ketidakcekapan di sana sini, bukanlah semua permasalahan dapat dibereskan.

Kompleksiti permasalahan itulah yang menyebabkan suatu kesimpulan bahawa semakin perlu kita, termasuk para sasterawan, memperhatikan dan menangkap nuansa-nuansa dalam masyarakat. Di sinilah para sasterawan antara lain dapat memberikan sumbangannya.

Pesanan melalui mekanisme seni

Seperti awal dibicarakan tadi para sasterawan boleh memadatkan fikiran, isi idea dan isi hatinya ke dalam sesebuah karya itu dengan mengggunakan cara-cara tertentu seperti perwatakan, plot, cerita dan gaya bahasa prosa bagi sesebuah novel atau cerpen, ataupun menggunakan pemadatan isi, perekonomian dan imbangan kata-kata, perlambangan rima, aliterasi dan asonansi untuk menyampaikan maksud dalam puisi.

Melalui mekanisme seninya para sasterawan dapat menyampaikan pesan dan kebijakan pemerintah kepada masyarakat. Termasuk persoalan-persoalan yang mungkin sahaja lepas pandang daripada fokus perhatian pemerintah ataupun yang telah masuk ke dalam dasar dan peruntukan belanjawan pembangunan pemerintah tetapi pelaksanaannya lain pula.

Apabila para sasterawan mengangkat permasalahan-permasalahan yang hidup dalam masyarakat, fungsi konstruktif itulah yang ingin dilaksanakan. Mungkin saja hal semacam itu boleh menimbulkan salah faham. Apabila hal itu terjadi pendekatan yang menjadi kesepakatan adalah dialog, pertemuan, penjelasan, tentang duduknya isu itu serta peka menangkap kompleksiti dan nuansa-nuansa permasalahan akibat dari pembangunan yang semakin laju.

Kemajuan-kemajuan ekonomi tetap disertai permasalahan bahkan ancaman, bukan sekadar penumbuhan, bukan sekadar kemakmuran akan tetapi juga penerapan sesuai dengan keadilan sosial. Ertinya: Mencakup keadilan sosial; ertinya mencakup dimensi yang lebih bervariasi dan lebih mendalam, bukan sekadar kemakmuran kebendaan kuantitatif akan tetapi sekaligus juga kesejahteraan, sesuai dengan aspirasi kemanusiaan yang utuh.

Justeru itu kita dapati pengkritik-pengkritik sastera yang 'di luar jalur kekuasaan pemerintah' selalu menegur tentang kepincangan sistem politik kini. Ada di kalangan mereka berani mengkritik peranan bertaraf Sasterawan Negara kini yang ditangggapi tidak lagi bicara mencari kebenaran dalam perjuangan hidup, sebagai pengkritik masyarakat ulung. Perjuangan Sasterawan Negara bagaikan terhenti setelah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Pengkritik-pengkritik demikian sudah tentunya berperspektif sosial kerana mereka memandang soal-soal besar yang menimpa negara tidak lagi digarap oleh para sasterawan besar.

Sasterawan perlu berjiwa besar

Sasterawan-sasterawan kecuali seorang dua saja seperti Azizi Hj Abdullah tidak lagi berfungsi sebagai suara golongan tertindas.

Apakah para sasterawan kita berani menyoroti liku-liku manusia bangsawan, dunia bisnes, dunia ulama ataupun dunia politik pemerintahan yang menghakis hak-hak rakyat? Ataupun mereka lebih senang dengan dunia rakyat jembel dan manusia-manusia yang kaya dengan kemiskinan di Banggul Derdap, atau di kampung, wilayah hitam penuh dosa dan noda di kotaraya Singapura seperti yang pernah diluahkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said?

Mungkin para sasterawan kita belum terlatih berfikir dalam format jiwa besar seperti sasterawan kita Usman Awang (Tongkat Waran) dan Kamaluddin Muhamad (Keris Mas) atau pemenang Nobel seperti Gabriel Garcia Marquez dan Najib Mahfouz yang berjaya sedikit sebanyak menjabarkan masalah sosial dengan jitu melalui novel-novel mereka.

Di rantau Nusantara kita juga memiliki sasterawan seperti W.S. Rendra atau Pramoedya Ananta Toer kerana novel atau puisi mereka banyak mencerminkan kekuatan fikiran dan semangat serta keluhuran budi sesuatu bangsa dan rakyatnya. Mereka berjiwa rakyat dan sanggup mengabdikan seninya untuk kepentingan massa rakyat, tanahair serta untuk keseluruhan umat manusia yang tertindas untuk pembebasan mereka.

Kalau sasterawan itu tidak berjiwa demikian seperti dikatakan tadi, maka karya mereka tidak lebih dari coretan kosong dari individu-individu seniman yang melonta-lonta sendirian dan tandus dari segi idea, asyik mempertajamkan idealisme 'seni untuk seni' atau melulu mahupun secara tak ketara membodek pemerintah.

Dengan itu para sasterawan mempunyai tanggunjawab penting kepada masyarakat. Mungkin sebuah petikan sajak di bawah dapat melukiskan peranan seorang sasterawan serius dan manusiawi itu seperti :



" ... pena di tangan penyair yang unggul

Sebenarnya mengalirkan tinta indah

Warnanya merah

Menghirup inspirasi dari lautan

Pergelutan hidup massa yang penuh gelombang

Tanpa sempadan

Kehalusan seninya adalah amat tajam

Tepat seperti helang menembus sasaran

Yang walaupun bergerak

Membara menghapuskan segenap

Rumput yang beracun

Dari satu demi satu

Ia mencipta bunga-bunga baru

Yang kelak semerbak harum menguntum"

No comments

Powered by Blogger.