Senarainya panjang - Selepas Khir Toyo, siapa pula?

Penangkapan keatas Dr Mohd Khir Toyo, bekas Menteri Besar BN Selangor dan seterusnya pertuduhan keatas beliau memang sudah lama dijangkakan akan berlaku oleh orang ramai khususnya diNegeri Selangor. Pada hari minggu yang lepas saya telah menerima banyak panggilan dari ramai rakan-rakan bertanyakan samada berita yang bertiup kencang tentang penahanan beliau itu adalah benar atau hanya spekulasi.

Saya memberitahu mereka yang saya ada mendengar berita itu tetapi saya tidak tahu keadaan sebenarnya kerana maklum sajalah kadang-kadang berita seperti itu hanyalah spekulasi-spekulasi murah dari penggiat politik yang bertentangan.

Tetapi pagi semalam apa yang saya jangka sebagai spekulasi itu rupa-rupanya bukanlah satu spekulasi semata-mata, tetapi adalah berita yang benar. Khir Toyo telah pun dituduh diMahkamah diShah Alam. Beliau dituduh bersama seorang Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd. Shamsudin Hayroni yang berkaitan dengan 2 lot tanah dan sebuah rumah mewah Khir Toyo diseksyen 7 Shah Alam, Selangor yang dikatakan berharga 24 juta ringgit.Wah, macam manalah rupanya wang RM 24 juta itu?

Selama ini kita hanya mendengar bermacam-macam cerita tentang Khir Toyo ini tetapi tidak ada apa-apa tanda yang beliau akan diambil tindakkan keatas isu itu. Yang kita dengar hanyalah Khir Toyo membuat kenyataan-kenyataan menuduh kerajaan PR Selangor menyalahkan kuasa dan rasuah saolah-olah Khir Toyo sendiri tidak ada apa-apa kes yang hendak disiasatkeatas dirinya.

Kalau dilihat dari rumah yang begitu besar saya tidak yakin yang jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina rumah mewah ini datangnya bukan dari jualan surat khabar atau menjual tempe seperti yang diceritakan oleh beliau semasa beliau muda-muda dahulu.

Khir Toyo tetap mengatakan rumah yang dibinanya itu hanya berharga RM3 juta sahaja dan bukannya RM 24 juta seperti yang dituduh itu. Saya sendiri pernah pergi melihat rumah yang didakwa berharga RM24 juta itu secara tidak sengaja. Saya melihat rumah itu sangat besar dan terlalu mewah bagi Khir Toyo yang selalu bercakap merendah diri dengan saya semasa bertemu dengan beliau beberapa kali tidak berapa lama dulu.

Sekarang kes beliau telah dibawa kepengadilan dan kita tidak perlulah menjatuhkan hukuman mengikut pandangan kita terhadap apa yang beliau hadapi sekarang. Kita tidak boleh ‘sub-judice’ kerana kes itu sudah berada dimahkamah untuk diadili.Pertuduhan dilakukan oleh AG TS Ghani Patail,yang juga mempunyai bermacam-macam cerita tentang beliau dipasaran.

Yang dituduh ini adalah pemimpin UMNO dan BN yang dikatakan orang sebagai sinonim dengan rasuah. Rasuah dan UMNO itu adalah ibarat ‘aur dengan tebing’, saling sandar menyandar diantara satu dengan yang lain. “Tidak membiak rasuah tanpa UMNO dan tidak berfungsi UMNO itu tanpa rasuah” kata mereka.

Begitulah dahsyatnya imej UMNO kepada orang ramai sehinggakan UMNO dan rasuah itu dianggap ‘synonymous’. Imej dan stigma itu tetap kekal dan dengan melakukan pertuduhan kepada Khir Toyo seorang sahaja tidak akan dapat mengubatkan ketenatan imej UMNO dalam hal yang berkaitan dengan rasuah ini.

Rais Yatim semasa menjadi Menteri yang mengelolakan Undang-Undang dahulu, pernah membuat kenyataan yang mengatakan ada 18 kes berprofil tinggi dan kita tidak tahu samada kes yang dihadapi oleh Khir Toyo ini adalah salah satu daripada 18 kes yang dikatakan oleh Rais itu.

Belasan kes yang lain yang disebut oleh Rais itu belum lagi sampai kemuka pengadilan dan jika tidak diambil tindakkan keatas kesemua 18 kes ini bermakna UMNO yang memerintah sedang menutupi banyak lagi kes yang berat dan tidak ada tindakkan yang telah diambil keatas kes-kes itu.

Kita mahukan kesemua yang terlibat diambil tindakkan pengadilan sebelum kita menghadapi pilihanraya umum ke13 untuk membawa UMNO kehadapan menghadapi rakyat dengan imej yang bersih seperti mana yang didakwa oleh pimpinan kerajaan BN yang memerintah diperingkat Persekutuan. Wang yang terlibat dalam rasuah itu adalah wang rakyat bukan wang pemimpin atau mana-mana parti politik.

Rakyat mahukan tindakan keatas semua pesalah-pesalah rasuah ini. Najib tidak perlu tergesa-gesa untuk mengumumkan ETP, NEM, NKRA, NKREA, PTP, TTP, KPP, dan entah apa-apa lagi yang mengelirukan selama ini. Selesaikan kes rasuah yang banyak-banyak ini dulu. Inilah yang menyebabkan UMNO hampir tersemban kebumi dalam pilihanraya umum dan kecil selama ini. Inilah dia penyakit ‘terminal’ yang dihadapi oleh UMNO dan pemimpin-pemimpin BN yang lain.

Buktikan yang Najib adalah serius untuk membetulkan keadaan parti dan pemimpin-pemimpinnya serta pastikan yang beliau sendiri mesti menghindarkan segala persepsi yang negatif terhadap diri beliau yang kita dengar menjadi umpatan rakyat dimerata-rata tempat diseluruh negara.

Pastikan supaya bukan kes rasuah sahaja yang dibawa kepada pengadilan.Salah laku kepimpinan pun mesti dibersihkan. Jika ada kepimpinan yang mencuri-curi menghantar wang keluar negara yang puncanya dianggap dari punca yang ‘dubious’ melalui cara yang tidak betul seperti melalui mengurup wang dan tidak melalui sistem banking yang halal. Kesalahan ini tidak boleh diambil ringan kerana yang dianggap kecil sekarang akan merebak seperti api yang akan membakar sistem baik yang ada dalam negara kita ini.

Isu-isu ini adalah isu kepimpinan negara. Itulah sebabnya kita tidak boleh mengambil ringan. Yang kita sebutkan ini adalah masalah negara bukannya masalah mentadbir pasukkan sepak takraw daerah Pekan atau Kuala Pilah. Selama ini isu ini tidak diambil ‘pot’ oleh pimpinan sehinggakan kerja-kerja seperti ini juga menjadi perkara biasa dan tidak lagi dianggap salah dari segi undang-undang dan moral bagi negara kita.

Sekarang keadaan sudah menjadi terlalu serius dan rakyat sudah melihatnya dengan jelas tentang bahayanya jika kesalahan ini tidak dibendung. Imej kotor memakan masa kadangkala memakan masa satu dekad untuk diperbaikki. Persoalannya sempat kah kita membersihkan imej ini sebelum kita menghadapi pilihanraya yang akan datang?

UMNO mesti dilihat bersih sebelum berhadapan dengan rakyat. Tetapi sempat kah kita membersihkan persepsi buruk ini menjelang pilihanraya yang akan datang? Tidak payahlah saya menjawabnya. Saudara-saudari tahu jawapannya.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2010/12/senarainya-panjang-selepas-khir-toyo.html

No comments

Powered by Blogger.