Suhakam: Setiap individu bebas anut apa-apa fahaman

Oleh Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Setiap individu di negara ini, melalui prinsip hak asasi manusia, adalah bebas dan mempunyai hak untuk menganuti apa-apa fahaman.

Mengulas mengenai penangkapan kira-kira 200 pengikut Syiah baru-baru ini, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, "Mengikut prinsip hak asasi manusia, setiap individu bebas dan berhak untuk menganut apa-apa fahaman. Fahaman (Syiah) itu adalah sah di beberapa buah negara maka perkara ini perlu diambil kira oleh kerajaan Malaysia."

Beliau berkata, "kami masih membuat kajian. Tidak mudah untuk membuat sebarang keputusan mahupun tindakan. Ini kerana tindakan itu hanya tertakluk kepada warganegara bukan kepada warga asing," jelas beliau.

Menurutnya, empat daripada 200 pengikut ajaran Syiah yang ditahan minggu lalu mengadakan pertemuan semalam bagi mendapatkan nasihat daripada badan bukan kerajaan (NGO) itu berhubung penangkapan mereka.

Memorandum untuk Suhakam

Beliau mengesahkan perkara ini ketika dihubungi FMT hari ini sambil berkata kemungkinan pihak terbabit akan menghantar memorandum kepada Suhakam.

Iran, Iraq, Pakistan dan Lubnan adalah antara negara yang terkenal dengan mengamalkan fahaman Syiah ini.

Pada 16 Disember lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu dan menahan 200 pengikut dan dua ketua kumpulan ajaran itu di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

No comments

Powered by Blogger.