Tahap hak asasi berbalik ke zaman Mahathir

Ramli Abdul Samad



Di tengah-tengah hiruk-pikuk silang perdebatan ‘ketuanan Melayu’ dan perang PR dan BN dalam merebut Putrajaya, ada realiti pahit yang tidak mungkin dibiarkan kelu oleh peredaran masa, iaitu isu hak asasi manusia bagi rakyat Malaysia. Hari Hak Asasi Manusia diraikan oleh dunia pada Jumaat lepas (10 Disember).

Bagaimana keadaan atau status hak asasi manusia di negara kita?

Mengikut satu laporan ‘Civil and Political Rights Report 2010’ dari sebuah NGO Suaram, suasana muram pasti menyelubungi negara bagaikan seperti mahu dibawa kembali semula ke zaman pentadbiran Mahathir. Kita sedia maklum bagaimana negara semasa 22 tahun dalam pentadbiran Mahathir telah meruntuhkan banyak tiang seri demokrasi kita dan menafikan hak asasi manusia rakyat kita. Pendek kata, hak asasi manusia tidak akan muncul bebas melainkan dicabuli lagi.

Sejak merdeka negara Malaysia telah melalui pemerintahan dari rejim BN yang diganti dengan rejim BN lagi selang setiap lima tahun. Sudah lebih dari setengah abad BN memerintah negara. Dalam tempoh yang relatif panjang itu, masih ramai rakyatnya yang tidak menikmati kemewahan hasil daripada pembangunan negara.

Statistik menunjukkan sebanyak 40 peratus isi keluarga negara berada dalam keadaan ‘cukup-cukup untuk menyara hidup’ kerana memperolehi pendapatan RM2,000 sebulan. Sekarang, kualiti hidup rakyat semakin menurun, kuasa membeli rakyat semakin rendah, semuanya gara-gara kegagalan pemerintah mentadbir negara.

Suaram menambah lagi bahawa pencabulan itu termasuk jumlah tangkapan yang tinggi ketika perhimpunan oleh rakyat dan kawalan ketat ke atas media yang menunjukkan ‘tanda-tanda dasar masyarakat tertutup’. Terdapat ruang yang sebegitu kecil bagi golongan yang menentang ataupun pandangan alternatif yang tidak sehaluan dengan kerajaan untuk dihebahkan.

Di negera kita, mereka yang menjadi korban pelanggaran hak asasi manusia di masa lalu masih diabaikan. Begitu juga penduduk miskin yang merupakan majoriti di negara ini masih ramai yang belum menikmati hak-hak ekonomi, sosial, dan budaya mereka. Hubungan antaragama pun ditandai dengan pelanggaran hak beragama dan beribadat, manakala terdapat kelompok pelampau agama menindas minoriti dan merosak tempat ibadah mereka.

Dalam sebuah demokrasi yang belum lagi sempat berakar-umbi tetapi diasak pemantapannya pun sudah bersua serangkaian kes manipulasi suara dan pengabaian hak-hak politik rakyat.

Mengapa peradaban hak-hak asasi manusia yang sepatutnya merupakan adanya rasa hormat terhadap kemanusiaan sulit berkembang dan menjadi nilai bagi rakyat di negara kita? Apakah sebab-musababnya?

Kekejaman manusia adalah puncanya

Kita harus akui bahawasanya istilah hak asasi manusia itu tidak lagi bersifat sentral dalam konsep kemanusiaan komunitarian yang seharusnya dimiliki masyarakat kita. Masyarakat kita lebih banyak membicara tentang kewajiban lain seperti kewajiban beragama, kewajiban mementingkan ethnicity (ras), kewajiban bekerja dan seterusnya.

Bukannya perkara-perkara itu tidak mustahak tetapi fahaman akan hak asasi manusia adalah juga penting dan jangan menganggap yang konsep hak asasi manusia itu seperti bersumber dari satu tradisi konflik dan masalah individualisme Barat – sesuatu yang asing dalam budaya kita.

Orang mudah lupa bahawa persoalan sesungguhnya bukan terletak pada kontradiksi antara individualisme atau bukan, antara tradisi konflik atau bukan, melainkan pada kenyataan mengerikan bahawa manusia adalah makhluk yang mampu melakukan kekejaman sekaligus rentan menjadi korban kekejaman.

Niat perjuangan hak asasi manusia sebagai suatu hak yang melindungi manusia tidak hanya fokus kepada kekejaman orang lain, melainkan juga dari godaan bertindak kejam terhadap orang lain. Niat itu tidak ditangkap manakala orang asyik larut dalam perdebatan dengan isu-isu lain.

Sehubungan itu jua, peradaban hak asasi manusia untuk berkembang itu mengandaikan bahawa suatu konsep yang manusia bertanggungjawab terhadap nasib dan sejarahnya sendiri. Pelanggaran hak asasi manusia dianggap sebagai kesalahan manusia yang boleh dituntut, bukannya suatu peristiwa alamiah belaka. Namun, dalam tanggapan buruk sangka kebanyakan daripada kita, sebuah kekejaman dalam skala besar itu dilihat sebagai semacam bencana kolektif atau ‘murka dari Tuhan’ yang di dalamnya orang tidak dapat menuntut pertanggungjawapan daripada siapa pun.

Kekejaman dilupakan, tidak ada pembicaraan tentangnya, dan lewat kealpaan bahkan penafian sejarah itu, kekejaman semakin dilihat sebagai peristiwa alamiah yang menimpa seperti datangnya bala nasib buta.

Kengerian yang terpantul dari gambar buruk diri kita sendiri cepat-cepat kita tutupkan dengan sikap seolah-olah hal itu tidak pernah terjadi. Sikap menipu diri seperti itu tidak secocok dengan etos hak asasi manusia yang menuntut pertanggungjawapan dari pelaku kekejaman-kekejaman itu untuk tidak berulangnya peristiwa hitam itu.

Pemimpin yang salah gunakan agama

Peradaban hak asasi manusia tidak mungkin tumbuh mekar dalam ruang kosong, melainkan berkembang lewat amalan beristiqamah yang disarankan oleh perlembagaan negara.

Seperti diperkatakan oleh ramai pejuang perubahan, pengalaman mengikuti saranan perlembagaan negara adalah “kebersamaan dengan sesama warga yang sama kuatnya”. Kita memang hidup dalam sebuah negara berperlembagaan, tetapi pengalaman mengikuti saranan perlembagaan negara itu belum kita alami sebaiknya, antara lain sebabnya adalah kerana kepimpinan yang bermentaliti bangsa jajahan dan juga kedangkalan pentadbiran rejim autoritarian selama lebih dari lima dasawarsa tidak menunjukkan jalan yang diinginkan itu.

Pertarungan tidak seimbang antara yang kuat dan yang lemah masih terjadi di pelbagai bidang. Pihak yang kuat itu, segelintir elit adalah pemegang kuasa dan pemilik modal boleh saja berbicara dalam bahasa hak-hak asasi manusia secara permukaan namun mereka memiliki semua hak yang mereka perlukan untuk hidup, sementara yang lemah dianggap tidak layak memiliki atau menuntut haknya.

Keadaan yang amat tidak seimbang ini membuat individu cenderung berlindung di belakang kelompok masing-masing mengikut garisan etnik atau agama. Ia terhalang melampaui wawasan etnosentriknya dan penyertaan dalam politik adalah sangat rendah.

Apakah proses globalisasi boleh membantu? Globalisasi di satu pihak membantu sosialisasi hak asasi manusia, tetapi di pihak lain pula memberi tantangan tersendiri kerana globalisasi pasar juga boleh memperparahkan krisis solidariti rakyat. Dulu individu diperlakukan sebagai objek kuasa, sekarang sebagai objek pasar.

Amalan ‘demokrasi’ yang dibincangkan banyak ditentukan oleh jenis kepemimpinan yang boleh membantu pertumbuhan peradaban hak asasi manusia. Kepemimpinan yang secocok untuk peradaban hak asasi manusia adalah yang mendasarkan amalan-amalan kenegaraan pada tuntutan murni hak asasi manusia dan terus menyempurnakan saranan perlembagaan agar semakin sesuai dengan hak asasi manusia. Immanuel Kant ada menyebut jenis kepimpinan politik ini sebagai “politik bermoral”.

Kita belum lagi sepenuhnya berpengalaman dengan jenis kepemimpinan ini kerana amalan baru sejak era adanya tuntutan ‘reformasi’ yang berjanji akan mencuba melaksanakannya.

Yang lama bercokol dan berurat-akar di negeri kita adalah kepemimpinan yang menyalahgunakan moral dan agama untuk keuntungan kekuasaannya sendiri dengan cara provokasi dan manipulasi masa. Jenis macam ini disebut Kant sebagai “moralis politik” telah kita alami sepanjang kepimpinan BN dan mereka masih bertahan meskipun bergelut dalam proses ‘perebutan kuasa ke Putrajaya’.

Pihak-pihak yang membuat kacau akan niat murni menggembangkan hak asasi manusia menjadi nyata dengan mengelirukan konsep kemanusiaan komunitarian dan liberal termasuk dalam jenis moralis politik ini. Selama jenis kepemimpinan moralis politik ini diberi peluang untuk tumbuh, selama itu juga semua pelanggaran hak asasi manusia tetap tidak akan dipandang berat.

Nilai agama berpaut kepada ritualisme

Akhirnya peradaban hak asasi manusia akan berkembang dalam dukungan agama kerana agama ada mengandung fitrah kemanusiaan yang melampaui suku-suku dan bangsa meskipun tidak melampaui kekhasan agama itu sendiri. Di Barat ajaran hukum kudrat, Naturrechtslehre, yang berasal dari filsafat bersinergi dengan ajaran tradisi Yudeo-Kristiani tentang manusia sebagai citra Allah.

Tentu sinergi itu terjadi sesudah pertarungan lama antara agama Nabi Isa (Kristian) dan pemodenan yang tegangannya kadang masih terasa sampai dewasa ini.

Di negara kita kemajuan menghormati hak-hak manusia sulit tumbuh kerana kurangnya dukungan dari agama-agama tentang isu-isu hak asasi manusia. Agama-agama di negara kerap sibuk dengan menerap nilai mentaati ritualisme ibadat kepada kelompoknya. Mereka sangat sensitif dan artikulatif terhadap masalah kesusilaan, tetapi anehnya menjadi bisu dan kelu terhadap isu-isu korupsi dan pelanggaran hak asasi manusia yang berskala besar.

Sudah pastinya adanya aktivis dari kelompok agama. Bagaimanapun dalam agama itu sendiri sulit terjadi proses hermeneutik yang berupaya mentransformasikan penganutnya kepada pro-hak asasi manusia. Misalnya seorang Muslim yang pro-hak asasi manusia dianggap sebagai terpesona dengan idealogi sekular atau anti-Islam oleh masyarakatnya.

Keadaan nampaknya semakin parah apabila semua ini disertai provokasi kasar lagi biadab dari kelompok-kelompok pelampau agama yang dibayar untuk membuat kacau pada tanah air kita. Kerangka fikiran seperti ini sangat menghambat sosialisasi bagi membatinkan nilai hak asasi manusia.

Selama agama-agama khususnya para pemimpin mereka tidak memasukkan penegakan konsep hak asasi manusia sebagai sebahagian kewajiban agama mereka, selama itu pula pertumbuhan dan penghayatan akan nilai hak asasi manusia akan tetap terhambat seperti yang kita alami sampai sekarang.

Hambatan-hambatan di atas bukanlah kudrat-kudrat yang tidak boleh diubah. Sejarah kemerdekaan kita membuktikan bahawa hal-hal yang semua nampak sebagai nasib atau kudrat dapat diubah melalui tindakan keberanian. Terdapat beberapa golongan NGO, parti-parti pembangkang sudah beristiqamah dan berani memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia.

Keutamaan politik ini juga sentral dalam sejarah perjuangan menegakkan hak asasi manusia. Oleh kerana itu, kita seharusnya prihatin dengan fakta bahawa konsep hak asasi manusia masih dirasa asing bagi kebanyakan rakyat kita.

Ada masalah kelemahan kehendak yang bercokol di dalam para pemegang kuasa negara ini. Bukankah defisit keberanianlah yang akan menjadi akar persoalannya?

No comments

Powered by Blogger.