Tangguh pemilihan Umno elak Zahid rempuh Muhyiddin?

SEKARANG ramai membawa tuala kecil atau tisu ke pejabat. Apa pula puncanya sehingga sebegitu rupa. Maklumlah cuaca tidak menentu sekarang. Panas bukan lagi sampai ke petang. Hujan pula tidak memanjang ke malam hari. Apa yang berlaku, hujan kemudian panas. Selepas itu panas dan kemudian hujan.

Ia berlaku sejak dua minggu lalu kalau di Kota Bharu. Cuaca mendung memanjang. Langit nampak seolah-olah dekat di atas kepala.

Kesannya bagi mereka yang tidak kuat antibodi tentunya disingggahi selesema. Hingus yang tidak diundang pula muncul di pintu lubang hidung. Kadang-kadang tengkok jadi agak sendat. Suara pun bunyi agak parau.

Itu sebenarnya cerita demam kerana banjir. Namun sekarang demam lain pula. Demam jenis ini datang setiap empat tahun sekali. Jarang sangat boleh merapati lima tahun.

Demam itu tiba-tiba melanda lagi gara-gara Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan mulai Oktober 2011 hingga April 2013. Isyaratnya sudah jelas sekarang.

Ini kali keempat seorang Presiden Umno mengumumkan penangguhan pemilihan di semua peringkat Umno yang sepatutnya diadakan tahun depan.

Pada 1999 Majlis Tertinggi Umno menangguh pemilihan parti ke tahun 2000. Selepas itu diadakan pilihan raya umum pada 29 November 1999 yang menyaksikan Barisan Alternatif mencipta satu sejarah.

Prof Loh Kok Wah, profesor sains politik dari USM menggambarkan di saat itu bermula politik baru di Malaysia. Politik baru digambarkan apabila orang Melayu yang sebelum ini menjadi penyokong setia Umno beralih kepada PAS dan Keadilan.

PAS mencatat satu rekod bersejarah apabila Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Ketua Pembangkang di parlimen. PAS menghantar 27 wakil ke parlimen ketika itu.

Pemilihan Umno diadakan pada Mei 2000 yang menyaksikan pergolakan dalaman parti itu. Ramai ketua bahagian digantung jawatan dan keahlian angkara politik wang.

Kemudian pada Julai 2002 MT Umno sekali lagi menangguh pemilihan yang sepatutnya dilangsungkan pada Mei 2003. Pilihanraya umum ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004.

Dan sekali lagi Umno melengahkan pemilihan di semua peringkat parti pada 2006 yang sepatutnya diadakan pada 2007. Penangguhan itu juga dibuat untuk tempoh 18 bulan. Ekoran itu pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Berdasar kepada senario tersebut kemungkinan besar pilihan raya umum ke-13 diadakan sebelum tamat tempoh penagguhan pemilihan Umno. Penangguhan selama 18 bulan bermula Oktober 2011, dan tempoh akhir April 2013.

Ini bermakna pilihan raya umum ke-13 mungkin diadakan sebelum April 2013. Malah sekitar Mei 2013 mandat parlimen bagi penggal ke-12 bakal berakhir.

Maka berasaskan sejarah lepas pilihan raya umum boleh diadakan lebih awal dari tarikh tersebut. Atau kemungkinan juga diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Mandat kerajaan BN di Sarawak akan berakhir pada Julai 2011. Kalau seandainya pilihan raya umum ke-13 diadakan sekitar Mac hingga Jun 2011, bermakna hayat usia kerajaan di bawah Najib sekarang singkat dua tahun.

Namun, ramai penganalisis melihat pilihan raya sukar diadakan serentak dengan Sarawak memandangkan tumpuan BN akan bercempera. Namun kemungkinan itu tidak dapat ditolak apabila Najib berkira sangat dengan tarikh pilihan raya negeri diterajui PBB di bawah Tan Sri Taib Mahmud.

Demam PRU-13 juga dirasakan apabila Najib tanpa berselindung sudah bercakap soal calon BN. Pada konvensyen BN 2010 yang diadakan Ahad lalu di Wisma MCA, Najib memberi jaminan calon pilihan rakyat diberi keutamaan.

Konvensyen itu juga cuba diterjemahkan Najib atas semangat 1Malaysia apabila diadakan di luar PWTC. Malah difahamkan ada pemimpin meluahkan suara-suara tidak puas hati terhadap keputusan Najib memilih Dewan MCA sebagai tempoh konvesyen BN.

Mereka memberitahu Presiden Umno membuat keputusan dalam keadaan serba salah. Ia dibuat bagi memperlihatkan semangat 1Malaysia diterima semua komponen BN.

“Ramai pemimpin Umno tidak setuju dengan langkah Najib, namun mereka tidak berani mempertahankan hujah. Mereka akur dalam keadaan terdesak,” kata sumber itu.

Anwar jadi kambing hitam

Difahamkan setiap kali mesyuarat Umno diadakan, isu Anwar sering diungkit-ungkit. Ini bermakna Anwar bukan sahaja de facto kepada Keadilan, sebaliknya Umno juga menjadi gelisah angkara Anwar.

Suara dalaman Umno pun kadang-kadang hangit sehingga ke luar. Rumusan akhir Umno bagi mendepani isu Anwar ialah memastikan hayat politiknya menjadi lebih pendek.

Sekarang pun dapat dilihat perbicaraan di Mahkamah Tinggi membabitkan kes Anwar, langsung tidak menyebelahinya. Buatlah apa sekali pun hakim sudah ada skrip yang hendak dibaca.

Kata orang kampung skrip itu seperti diterjemah mengikut kehendak Umno.

“Pilihan raya umum ke-13 hanya akan diadakan selepas mahkamah memutuskan Anwar bersalah. Dan ketika itu Anwar sekali lagi diheret ke sel berdinding konkrit dan berjeriji besi,” kata satu sumber yang rapat dengan Umno.

Namun, Umno atau Najib mungkin lupa momentum pilihan raya umum 1999 berlaku ketika Anwar terkurung di Sungai Buluh. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang selesa di Permatang Pauh kerana aura simpati terhadap Anwar begitu mendalam.

Pengundi Melayu ketika itu terarah banyak kepada BA kecuali undi kaum Cina dan India. Ketika itu BN mendapat undi popular sebanyak 55.5 peratus, manakala BA pula 44.5 peratus. Di kawasan parlimen yang nisbah pengundi Melayu pada tahap 90 peratus BN mendapat 4 kerusi manakala BN pula 21 kerusi.

Sebaliknya pada pilihan raya umum 2008, sebahagian pengundi Melayu kembali kepada Umno ketika Anwar tidak lagi berada di Sungai Buluh.

Mungkin agaknya Najib kurang sedar perkara itu. Aura terhadap Nelson Mendela lebih kuat ketika pemimpin Afrika Selatan itu berada dalam kurungan. Begitu juga Ayatollah Khomeni ketokohannya terserlah ketika beliau berada dalam buangan di luar Iran. .

Hari ini alasan paling afdal bagi menggambarkan sebab penangguhan pemilihan Umno sudah diketahui rakyat. Tiada alasan lain yang mampu diberi Perdana Menteri.

“Isu utama sekarang kerana sejarah menyaksikan pemilihan menyebabkan Umno hampir ranap. Sejarah 1987 masih kekal sehingga ke hari ini.

“Ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah hanya dipisahkan dengan 43 undi di belakang Dr Mahathir Mohamad. Selepas itu Umno diharamkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainddin Awang Hamat.

Maka pada pemilihan yang mungkin diadakan pada akhir 2012 atau awal 2013, sekali lagi Umno akan dilanda kemelut. Malah lebih hebat kerana semua pemimpin Umno bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.

Kedudukan paling tidak selamat ketika itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini sudah kedengaran suara-suara nakal di PWTC, Dato’ Seri Dr Zahid Hamidi akan diperturunkan sebagai anak jantan bagi team Najib.

Zahid dianggap sebagai pilihan terbaik untuk mencabar kedudukan Muhyiddin. Datuk Seri Hishamuddin Husien dianggap banyak pihak tidak mampu untuk membawa cabaran itu. Muhyiddin pula tentunya tidak mudah menyerah kalah.

Muhyiddin mungkin sekali lagi mengharapkan bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad. Singa tua seperti Mahathir sudah tidak mampu membuat apa-apa lagi ketika itu. Usia sudah benar-benar lanjut.

Orang Zahid dikatakan sudah mengatur langkah. Begitu Muhyiddin tidak akan duduk diam. Maka menyedari hakikat itu Najib tiba-tiba membuat kejutan menangguhkan pemilihan Umno mulai Oktober 2011 hingga April 2013

Biar apa pun alasannya, jelas penangguhan pemilihan Umno kerana mahu memberi laluan pilihan raya umum ke-13 diadakan. Najib bimbang sangat Umno pecah lagi di penghujung usia parti tua itu sekarang.

No comments

Powered by Blogger.