TG Nik Aziz respons pendirian terbaru Karpal Singh

BERIKUT DIPAPARKAN RESPONS YAB TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT BERHUBUNG SIKAP TERBARU KARPAL SINGH TENTANG NEGARA ISLAM SEBAGAI MANA PEMULA SOALAN (QUESTIONS FEEDING) OLEH SYED MU’AZ (The Malaysian Insider):

Soalan kepada Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Assalamualaikum,

Saya ingin dapatkan komen Datuk Nik Aziz mengenai kesediaan Karpal Singh (Pengerusi DAP Kebangsaan) untuk membincangkan isu negara Islam yang selama ini menjadi pendebatan antara PAS dan DAP.

Jadi bagaimana Datuk melihat perkembangan dan perubahan yang diambil Karpal yang sebelum ini menentang keras cadangan negara Islam namun kali ini mula berubah untuk membincangkannya?

Adakah Datuk selaku Musyidul AM PAS akan mengadakan pertemuan dengan Karpal bagi membincangkan dan menjelaskan isu negara Islam ini secara terperinci?

Adakah Datuk yakin isu negara Islam akan diterima oleh rakyat khususnya bukan Islam termasuk juga pemimpin Umno yang dilihat akan menjadikan isu ini sebagai salah satu modal untuk menyerang Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP?

Bagaimana dengan komen penganalisis politik Prof A. Aziz Bari yang mengatakan isu yang dilihat “duri dalam daging” dalam hubungan DAP-PAS, tidak memerlukan perbincangan? Aziz Bari juga menyebut isu negara Islam tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan juga tidak disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Daripada,

Syed Mu'az Syed Putra
Wartawan The Malaysian Insider


Jawapan:

Tuan Syed,

Berikut adalah respons TG Nik Abd Aziz mengenai kenyataan Karpal, seperti mana tuan utarakan:

1. Terima kasih atas pendirian terbaru Tuan karpal Singh. Ia suatu petanda apa yang PAS perjuangkan selama ini
banyak membawa kebaikan untuk semua kaum.

2. Sikap terbaru Karpal S itu sebagai tanda juga membuktikan politik kerjasama melalui Pakatan Rakyat amat sesuai dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama. Ia satu cabaran kepada Umno yang memang menolak asas-asas Islam dipakai dalam politik.

3. Memang bersedia untuk berbincang atas isu negara Islam. Kerana bagi PAS sentiasa mengamalkan prinsip terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja. Pihak parti PAS ataupun sakretariat Pakatan Rakyat boleh menguruskan sesi perbincangan. Kalau boleh perbicangan itu nanti boleh dilibatkan sama ahli akademik atau pakar-pakar perundangan bagi memahami secara spesifik isu-isu berkaitan pemerintahan dan keadilan Islam.

4. Dengan kenyataan Karpal S itu, ia sudah menjawab semua keraguan yang timbul sebelum ini. Dari segi politik ia sudah mematikan
serangan Umno terhadap PAS. Mungkin MCA pula boleh mempersoalkan, sejauh mana pendirian Umno dalam isu pemerintahan Islam.

5. Walaupun dalam Perlembagaan tidak disebut secara spesifik "Negara Islam" sebenarnya Artikel 3 tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah cukup menjawab. Hakikatnya Malaysia sebuah negara yang legalise untuk mendukung prinsip politik dan pentadbiran Islam. Saya syorkan pakailah tafsir Perlembagaan yang positif, tidak pesimis tentang Islam. Kerana agama Persekutuan dalam maksud agama bagi Negara, bukan sekadar rasmi malah agama perundangan. Maka sewajarnya dalam Perlembagaan itu dijelaskan maksud agama ialah "ad-din", iaitu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, bukan kepercayaan semata-mata. Bila dimaksudkan sebagai ad-din, ia sudah meletakkan Islam sebagai akidah yang mantap tak boleh dicampur aduk. Oleh kerana itu, Islam sebagai sistem hidup yang harus dipakai sama dalam urusan politik pemerintahan.

Wallahu'alam.

Sekian.

No comments

Powered by Blogger.