‘Third Force’: PAS anggap sifat sementara, DAP lihat serius

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 1 Dis — Pakatan Rakyat menyifatkan penyertaan gabungan terbaru dikenali sebagai ‘Third Force’ dalam pilihan raya umum ke-13 boleh menjejaskan peluang gabungan tiga parti komponen itu merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, pemimpin Pakatan Rakyat berpendapat kewujudan ‘Third Forced’ ini perlu dipastikan dahulu matlamat dan tujuan ia ditubuhkan.

“Memang kalau ada pihak ketiga yang ingin letakkan calon dalam pilihan raya, ia akan beri kesan iaitu undi akan pecah.

“Kita tidak mahu lihat pihak ketiga ini keluar sebagai calon yang bertanding dalam pilihan raya.

“Tapi kalau benar-benar berlaku kita perlu menghadapinya kerana kita tiada kuasa nak halang,” kata Ketua Pemuda DAP Loke Siew Fook ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah bagaimanapun berkata Pakatan Rakyat yang diterajui PKR, PAS dan DAP perlu mengenalpasti sejauh mana ‘Third Force’ ini akan mempengaruhi keputusan pilihan raya umum nanti.

Beliau juga berkata, peluang Pakatan Rakyat untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 akan lebih cerah sekiranya ia hanya melibatkan pertandingan dua penjuru sahaja.

“Sekarang kita tidak tahu siapa mereka, kita juga tidak tahu bagaimana pengaruh yang mereka ada. Jadi kita harap ia tidak berlaku.

“Kita masih mahu supaya dalam pilihan raya kita harap ia pertandingan satu lawan satu iaitu antara BN dan Pakatan Rakyat kerana kalau ada pihak ketiga ia tidak menguntungkan Pakatan Rakyat tetapi akan memihak kepada BN,” katanya.

Loke juga berkata buat masa sekarang tidak perlu untuk Pakatan Rakyat mengadakan perbincangan dengan ‘Third Force’.

“Buat masa ini tidak perlu perbincangan kerana kita tidak tahu siapa mereka ini, siapa yang berada di belakang mereka jadi lebih baik kita tidak pedulikan dulu.

“Bila ia benar-benar wujud dan kita tahu siapa ahli-ahlinya baru kita akan berfikir semula. Buat masa sekarang tidak perlu lagi,” katanya.

Pendapat Loke mendapat sokongan daripada Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang mengatakan peluang Pakatan Rakyat untuk merampas Putrajaya akan terjejas sekiranya ‘Third Force’ menyertai pilihan raya umum.

“Mengenai ‘Third Force’ ini saya rasa kita kena lihat apa peranan mereka, adakah mereka akan bertanding dalam pilihan raya atau tidak? Kalau bertanding ia akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat.

“Ini kerana kalau ada pertandingan tiga penjuru, ia akan memecahkan undi dan kita percaya ia akan jejaskan peluang Pakatan Rakyat.

“Jadi saya harap dalam pilihan raya umum nanti ia masih pertandingan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga berkata adalah lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat memastikan terlebih dahulu siapa yang berada dalam ‘Third Force’.

“Tapi buat masa ini kita masih tidak dapat lihat apa matlamat, tujuan, cara kerja dan modus operandi mereka. Sama ada wujud atau tidak pun kita tidak tahu kerana sehingga kini kita hanya dengar sahaja.

“Kita tidak boleh buat keputusan lagi, kita tunggu sahaja kumpulan ini benar-benar ada ataupun tidak. Kita tunggu sejauh mana kekuatan dan pengaruh mereka dan siapa di belakang kumpulan ini,” katanya.

Pua juga berkata Pakatan Rakyat bersedia untuk menerima mana-mana kumpulan yang boleh memberikan kelebihan kepada gabungan tiga parti itu.

“Kita terbuka kepada semua yang ingin menyertai Pakatan Rakyat, mengenai ‘Third Force’ ini kita masih tidak tahu dengan jelas lagi jadi tidak boleh buat rumusan dulu.

“Apa-apa kita tunggu dulu kumpulan ini muncul, kemudian baru kita cakap,” katanya.

Sebelum ini bekas timbalan presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali berkata Pakatan Rakyat perlu mengadakan perbincangan dengan ‘Third Force’ untuk mengetahui matlamat sebenar gabungan tersebut ditubuhkan.

Ini kerana menurut Syed Husin, kemungkinan besar ‘Third Force’ untuk menampung ahli-ahli Umno yang kecewa dengan kepimpinan parti Melayu terbesar itu.

“Apa yang kita lihat Tun Dr Mahathir Mohamad pun ada mengatakan Perkasa adalah ‘Third Force’ yang mana selama ini kita lihat ia ditubuhkan dengan tujuan untuk menampung ahli Umno yang tidak suka Umno.

“Bahkan kewujudan ‘Third Force’ ini dilihat semata-mata untuk menampung ahli Umno dengan hasrat mereka tidak pergi kepada Pakatan Rakyat.

“Jadi kita perlu berjumpa dan mengadakan perbincangan untuk mengetahui apa matlamat mereka,” katanya selepas merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Jumaat lalu.

Namun beliau setakat ini masih tiada ancaman daripada ‘Third Force’.

Bagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, kewujudan ‘Third Force’ dalam politik negara hanya disifatkan sebagai sementara yang tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada Pakatan Rakyat.

“Dalam sejarah PAS sendiri kita telah melalui liku-liku perjuangan dan kita berpengalaman menghadapi golongan yang kecewa dan serpihan daripada parti.

“Bagi PAS kita melalui semua pengalaman itu yang mana kita sudah pernah hadapi banyak kumpulan seperti itu.

“Bukan kita nak berbangga diri tapi bagi PAS parti yang wujud daripada serpihan ini tidak akan kekal lama kerana mereka wujud daripada rasa kekecewaan terhadap parti,” katanya.

Beliau menjelaskan kekuatan sesebuah parti politik bergantung kepada matlamat perjuangan bukan ditubuhkan kerana perasaan.

“Bagi kita mungkin kumpulan ini hanya penting pada waktu itu sahaja, akhirnya parti besar yang terbukti akan berjaya.

“Kita meraikan semangat mereka untuk berjuang tapi mereka harus lihat kepada perjalanan sejarah dan pilih jalan terbaik mereka.

“Secara peribadi ia hanya faktor sementara sahaja, datang dan pergi,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk ‘Third Force’.

“Bagaimanapun kita tidak keberatan untuk menemui mana-mana pihak untuk berjumpa atau mengadakan perbincangan.

“Saya tiada masalah tentang kumpulan ini tapi bagi saya itu adalah warna-warni politik.

“Kita tidak tahu apa kesannya, kita lihat dulu nanti bagaimana kesan kumpulan ini. Lagipun mereka belum tentukan pendirian mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata ‘Third Force’ akan “layu” dalam perjuangan mereka kerana tidak mempunyai sebarang matlamat yang jelas.

Beliau juga menolak bahawa kewujudan ‘Third Force’ ini akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk merampas Putrajaya.

“Ia belum tentu beri kesan kepada Pakatan Rakyat, lagipun kita tidak tahu siapa mereka ini.

“Kalau kita lihat dari segi sejarah di seluruh dunia dan Malaysia sendiri, kumpulan-kumpulan sebegini akan layu begitu sahaja. Kumpulan ini tiada matlamat dalam perjuangan mereka.

“PAS ada matlamat dalam perjuangan, kalau kumpulan ini nak sertai PAS kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Malah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata rakyat tidak akan menyertai mana-mana kumpulan yang ditubuhkan hanya kerana kecewa terhadap parti yang disertai sebelum ini.

“Kumpulan in wujud kerana rasa tidak berpuas hati kepada parti yang disertai mereka sebelum ini. Bagi saya mereka tiada matlamat dan akan layu.

“Lagipun kumpulan ini tidak boleh bertahan, mereka tiada matlamat perjuangan bagaimana nak bertahan? Wujud semata-mata kerana rasa tidak puas hati.

“Jadi kita anggap ia tidak akan beri kesan kepada Pakatan Rakyat. Saya rasa rakyat juga boleh menilai perkara ini, adakah rakyat mahu menyokong kumpulan yang tiada matlamat ini? Kalau nak bincang pun kita tidak tahu siapa mereka,” katanya Abdul Halim.

No comments

Powered by Blogger.