"Tuan" hanya untuk Yang DiPertuan Agong – Anwar

Oleh Muda Mohd Noor

PARLIMEN KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan ‘Tuan’ hanya boleh digunakan oleh Yang DiPertuan Agong dan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan.

"Kita lihat ‘Tuan’ adalah untuk kaum yang memiliki kuasa. Kalau Melayu itu ‘Tuan’, bagaimana dengan kaum Cina, Kadazan dan kaum yang lain,?" tanya beliau.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Anwar berkata, "dalam prinsip Perlembagaan, agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-raja kita tidak bangkitkan."

"Pengalaman saya bersama PAS dan DAP, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, Raja-raja Melayu kita terima. Ini diputar belitkan oleh Umno dan (akhbar) Utusan (Malaysia). Saya harap jangan menipu seolah-olah kita golongan yang menolak Melayu," katanya.

Dalam sidang media tersebut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan bahawa beliau akan melantik tokoh DAP, Lim Kit Siang sebagai timbalan perdana menteri jika Pakatan Rakyat memerintah.

Dasar Pakatan Rakyat

Anwar berkata, bukan bidang kuasa beliau untuk melantik sesiapa menjadi timbalan perdana menteri. Tapi dasar Pakatan Rakyat, kita tidak menolak mereka berdasarkan kepada bangsa dan ras.

"Mengapa hendak nafikan hak orang Melayu, Cina, India, Kadazan sebagai timbalan perdana menteri 1, 2, 3?," soal beliau.

Mengulas desakan ahli Parlimen Bebas, Datuk Zahrain Mohd Hashim supaya gelaran "Datuk Seri" dilucutkan, Anwar berkata, beliau tidak merayu untuk mendapatkan gelaran itu.

"Saya bukan tulis surat merayu supaya diberikan gelaran Datuk Seri. Tuanku memberi anugerah ini, saya menjunjung kasih kepada Tuanku. Yang pertama saya dapat dari Sultan Pahang, selepas itu menyusul yang lain," katanya menambah, beliau mempunyai tujuh atau lapan gelaran.

Dalam sidang media di lobi Parlimen semalam, Zahrain yang juga bekas pengerusi PKR Pulau Pinang mencabar Anwar supaya menyerahkan gelaran "Datuk Seri" kerana mendakwa ketua pembangkang itu menolak Ketuanan Melayu.

No comments

Powered by Blogger.