Turun padang perjelas tawaran 100 Hari

Harakahdaily

PARIT BUNTAR, 23 Dis: Pemimpin Pakatan Rakyat mesti melakukan sesuatu supaya rakyat faham dengan tawaran 100 Hari itu dan mereka kekal dengan momentum anti BN.

“Pimpinan PAS, DAP dan PKR perlu turun padang bagi menjelaskan program 100 Hari tersebut,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Katanya, ini kerana rakyat menaruh harapan tinggi agar kerajaan mampu mengatasi masalah besar yang melanda Malaysia pada hari ini, antaranya masalah jenayah, rasuah, salah guna kuasa, kemerosotan ekonomi, kemusnahan sistem kehakiman, dan yang paling mengusarkan hati ialah masalah salah faham Islam dalam kalangan umat Islam sendiri.

Selain itu, katanya apabila pemimpin Pakatan turun ke bawah menjelaskan isu berkenaan sekaligus menyakinkan rakyat bahawa itu adalah suatu kenyataan yang boleh dilakukan oleh Pakatan Rakyat apabila diberi mandat memerintah nanti.

“BN nampaknya seperti sudah tidak mampu menangani permasalahan rakyat, respons awal Najib dan Muhyiddin menampakkan mereka menggelabah.

“Saya kira strategi Pakatan Rakyat sudah mengena dan usaha turun ke bawah menjelaskan kepada rakyat dan mestilah disegerakan,” tegasnya yang juga Adun Titi Serong.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan "Buku Jingga" yang dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2, Ahad lalu diperbanyakkan dan disebarkan secara percuma kepada rakyat bagi memastikan pelbagai tawaran lain sampai kepada mereka.

"Waktu sekarang mereka ada masa untuk baca, kalau parlimen dan Dun dibubarkan nanti, mereka tidak baca lagi, waktu itu sudah terlambat," katanya.

Pakatan Rakyat juga, katanya perlu membentuk satu pelan jangka pendek, dalam masa yang sama tidak mengabaikan pelan jangka masa panjang dalam misi menawan Putarajaya.

“Pelan tersebut haruslah merangkumi gerak kerja dari peringkat pimpinan tertinggi parti dan di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat turun padang, bersua dengan rakyat bertujuan memperjelaskan program 100 Hari sebagaimana yang termaktub di dalam buku Jingga yang menjadi topik perbahasa dalam konvensyen, Ahad lalu,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.