Isu DNA: PKR kata Zaid rendahkan maruah diri, ‘sudah terlupa’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Datuk Zaid Ibrahim telah merendahkan maruahnya seakan Perkasa dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) apabila meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA secara sukarela dalam liwat yang dihadapinya sekarang.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Anwar enggan menyerahkan sampel DNA kerana tidak yakin terhadap ketelusan sistem sedia ada.

“Malang sekali apabila Zaid Ibrahim terpaksa menjatuhkan maruahnya ke tahap serendah Perkasa dan GAPS dalam meneruskan dendamnya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar bukan hanya enggan menyerahkan DNA beliau kerana beliau secara perundangan tidak perlu melakukannya bahkan juga kerana pasukan pembelaan beliau tidak meyakini ketelusan sistem sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Nik Nazmi, pertuduhan liwat terhadap Anwar adalah satu konspirasi yang “dicipta” untuk membunuh karier politik Ketua Umum PKR itu.

“Pendirian Anwar dan Pakatan Rakyat terhadap kes ini adalah jelas, pertuduhan yang dikemukakan adalah konspirasi yang bertujuan untuk membunuh karier politik beliau.

“Dalam tempoh singkat Zaid bersama PKR, beliau giat menegakkan pendirian yang sama, namun pada hari ini beliau nampaknya sudah terlupa,” katanya.

Beliau berkata sebagai seorang peguam Zaid yang juga Presiden Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) sepatutnya tahu bahawa pengambilan sampel DNA tanpa mengemukakan sebarang bukti tidak sah.

“Apa yang jelas sepanjang perbicaraan berjalan, pihak pendakwaan telah menafikan semua permohonan pasukan pembelaan supaya mengemukakan segala bukti dan data lengkap serta sampel DNA yang diuji dari sampel yang diambil daripada tubuh dan pakaian Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Sebagai peguam, Zaid sewajarnya mengetahui bahawa ini bercanggah dengan protokol ujian DNA dan secara automatik mengecualikan bukti tersebut dalam mana-mana perbicaraan adil.

“Penolakan tersebut menghalang pasukan pembelaan dan mahkamah untuk menilai kesahihan ujian DNA tersebut secara bebas. Penolakan ini hanya mengukuhkan pandangan bahawa pihak pendakwaan mempunyai sesuatu untuk diselindungkan dalam apa yang dikatakan ujian DNA itu. Atas sebab itu, adalah satu penghinaan kepada prinsip keadilan untuk Anwar memberikan sampel DNA untuk membantu pendakwaan mengesahkan keputusan yang menimbulkan syak dan direka-reka,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia mendakwa Zaid cuba untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat apabila mendakwa PAS tidak bersuara dalam perkara itu.

“Percubaan Zaid untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dengan dakwaan beliau bahawa PAS tidak bersuara dalam kes ini menunjukkan kejahilan beliau tentang sokongan PAS serta prinsip asas dalam syariah bahawa tiada sesiapapun boleh didapti bersalah tanpa kesaksian empat saksi yang adil dan berwibawa.

“Sejak hari pertama, kes Anwar telah dipenuhi oleh pelbagai percanggahan dan kelemahan, dan jelas sekali sekiranya defendannya bukanlah Anwar Ibrahim kes ini akan dibuang daripada mahkamah,” katanya.

Semalam Anwar berkata beliau enggan menyerahkan sampel DNA kerana bertindak berdasarkan fakta dalam kes itu.

Kelmarin pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Tinggi boleh dan patut membenarkan permohonannya bagi dikeluarkan perintah supaya Anwar memberikan sampel DNA beliau.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata, permohonan itu mungkin tidak pernah dibuat sebelum ini tetapi dibenarkan mengikut undang-undang manakala Akta Keterangan 1950 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah itu.

Minggu lalu 30 NGO termasuk Perkasa dan GAPS telah berhimpun di hadapan ibu pejabat PKR bagi mendesak Anwar menyerahkan sampel DNA berhubung kes liwat yang membabitkan Mohd Saiful.

No comments

Powered by Blogger.