Muhyiddin: Komponen Pakatan Rakyat tidak ‘sebulu’

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang membuat penafian bahawa ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai liability kepada PAS merupakan satu cara untuk mengaburi mata rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hakikat sebenarnya adalah hubungan di antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tidak ‘‘sebulu’’.

“Kenapa perlu buat kenyataan seperti ini (penafian), ia sudah menjadi lumrah pada pihak PAS dan Anwar bekerja dalam pakatan tetapi kenapa buat kenyataan untuk jelaskan, pengajaran bagi kita ialah sikap bermuka-muka antara mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Merlimau dan Kerdau pada Ahad lepas antara lain disebabkan faktor Anwar sebagai liabiliti kepada parti tersebut.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini yang menolak keras tanggapan Najib dan menyifatkannya bahawa ia sebagai satu serangan politik biasa oleh Barisan Nasional (BN).

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata pembangkang mengakui bahawa Anwar bukanlah satu-satunya faktor kemenangan tetapi ianya seperti satu hakikat yang diterima bahawa faktor Anwar adalah sangat relevan dan signifikan dalam menentukan kekuatan pakatan pembangkang.

Muhyiddin berkata kekalahan itu memberikan satu tamparan hebat kepada PAS kerana kehadiran Anwar dan anggota pembangkang yang lain ketika kempen pilihan raya kecil tersebut dilihat tidak menyumbang kepada undi yang dikehendaki oleh PAS.

“Kalau boleh mereka (PAS) tidak mahu Anwar turun, mereka tidak mahu mengaku, tetapi kita tahu daripada beberapa sumber yang kita dapat bahawa mereka rasa Anwar sudah menjadi liabiliti, imej Anwar sudah tercalar dengan perkara yang telah berlaku pada diri beliau.

“Sebab itu PAS kalau boleh nak jauhkan diri, tetapi Anwar fikir ini adalah hak dia kerana dia adalah kepala (ketua) pembangkang sebab itu dia turun ke bawah (berkempen),” katanya.

Mengulas mengenai kerajaan PAS Kelantan yang tetap mempertahankan pendiriannya mengharamkan segala bentuk perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak sekutunya DAP supaya menarik balik pengharaman tersebut, Muhyiddin berkata perkara itu perlu diserahkan kepada masyarakat bukan Islam untuk menilai sikap dan pendirian kerajaan PAS dalam soal itu.

“Di situ telah berbangkit masalah tentang perkara biasa yang diamalkan dan sekatan baru yang diperkenalkan oleh kerajaan PAS yang telah dianggap oleh pihak bukan Islam menyentuh hak mereka.

Mereka kata dari segi undang-undang tidak salah, disebabkan itu tindakan mereka telah menimbulkan rasa tidak puas hati, itu petanda tentang sikap PAS sebenar dan layanan (terhadap) masyarakat bukan Islam dalam negara kita,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa MCA sudahpun mengambil maklum mengenai perkara itu dan difahamkan bahawa parti komponen BN itu sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Apakah tindakan yang pihak MCA hendak buat saya tidak tahu kerana saya tidak dapat laporan lagi, pihak-pihak tertentu merasakan bahawa hak mereka ini dihalang atau disekat dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, pihak berkuasa tempatan menyaman dua pemilik kedai buku di Kelantan kerana menjual tiket loteri menyebabkan timbul dakwaan bahawa Kerajaan PAS Kelantan menidakkan hak penganut agama lain di negeri itu. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.