Kenyataan Media

KENYATAAN MEDIA YB ISKANDAR A. SAMAD

Mekanisme pelepasan automatik kuota hartanah Bumiputera yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini tidak akan menggadai kepentingan masyarakat Bumiputera.

Menurut peraturan baru ini, pelepasan secara automatik untuk kuota Bumiputera boleh diberikan apabila kemajuan projek di tapak sampai ke tahap 50%, 75% dan 100%.

Walaupun automatik, pemaju perlu membuat permohonan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

Tetapi sekiranya pemaju tidak mendapat jawapan dalam masa yang ditetapkan, mereka akan mendapat pelepasan automatik bagi peratus yang dibenarkan.

LPHS perlu memberi jawapan dalam masa 7 hari bekerja bagi setiap permohonan.

Pelepasan untuk tahap 50% adalah 20% dari jumlah baki kuota, untuk tahap 75% adalah 30% dari jumlah baki kuota dan untuk tahap 100% adalah 30% dari jumlah baki kuota.

Jika pemaju masih tidak boleh menjual kuota Bumiputera 6 bulan selepas mendapat Sijil Layak Menduduki Bangunan, mereka boleh memohon untuk pelepasan bagi kesemua kuota Bumiputera mereka dari satu jawatankuasa khas.

Jawatankuasa ini akan dipengerusi sendiri oleh YB Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan yang akan membuat keputusan dalam masa 14 hari bekerja dari tarikh permohonan tersebut.

Oleh itu, pemaju tidak boleh menjual kuota Bumiputera sesuka hati mereka kerana masih perlu merujuk kepada Kerajaan Negeri. Pelepasan hanyalah automatik sekiranya Kerajaan Negeri gagal memberi jawapan dalam tempoh yang ditetapkan.

Di dalam menyiapkan mekanisme pelepasan ini, YAB Dato' Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri telah beberapa kali bertemu dengan wakil-wakil pemaju (REHDA). Ada pihak yang bertanya kenapa Kerajaan Negeri hanya mengadakan rundingan dengan REHDA kerana mekanisme ini bukan hanya memberi kesan kepada para pemaju tetapi juga kepada masyarakat Bumiputera. Mereka mempersoalkan kenapa Kerajaan Negeri tidak mengadakan rundingan khusus dengan mereka yang terlibat memperjuangkan nasib masyarakat Bumiputera seperti NG0-NG0, para profesional, ahli-ahli akademik dan individu-individu tersohor.

Pada hakikatnya Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan engagement dengan mereka. Pandangan mereka tidak sama sekali disisihkan. Mekanisme baru ini mengambil kira pandangan semua pihak.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
8 Mac 2011

No comments

Powered by Blogger.