Pertambahan pengundi pos: SPR perlu beri penjelasan

AHLI Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan sama ada wujud campur tangan pihak tertentu sehingga berlakunya pertambahan mendadak pengundi pos terutamanya di kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Saifuddin berkata, jawapan Pengarah Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar bahawa kesedaran politik yang tinggi di kalangan isteri tentera untuk mendaftar sebagai pengundi pos adalah tidak masuk akal.

Beliau merujuk kepada isu yang dibangkitkan sebelum ini oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai, Chan Ming Kai mengenai pertambahan hampir 6,000 pengundi pos di DUN Pangkor dalam Parlimen Lumut.

“Solah-olah ada satu pihak yang melakukan perbuatan ini secara tersusun dan terancang. SPR perlu jawab perkara ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau turut memberikan contoh sinonim di Parlimen Ketereh, Kelantan apabila wujud 449 nama baru yang muncul sebagai pengundi pos di Kem 16 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Justeru, dalam satu pendengaran awam yang diadakan di bilik mesyuarat Majlis Daerah Keterah pada 18 Januari lalu, bantahan yang dibuat oleh PAS kawasan Ketereh itu diterima.

“Anehnya, semua pengundi pos itu adalah wanita. Bahkan, mereka tidak tahu bahawa namanya telah ditukar daripada pengundi awam menjadi pengundi pos. Bahkan selepas bantahan dibuat, kesemua mereka ini tidak membuat sebarang rayuan.

“Kita kemudiannya berjaya membuktikan bahawa kesemua mereka itu tidak mengisi borang A, iaitu borang perpindahan yang wajib diisi untuk menukar status atau menukar kawasan.

“Kalau mereka tidak mengisi borang perpindahan, bagaimana nama mereka boleh ada dalam senarai pengundi pos? Apakah mekanisme penerimaan yang dibuat oleh SPR?” soal Saifuddin.

Akibat bantahan tersebut, PAS Ketereh terpaksa membuat semakan manual dan membayar RM 10 bagi setiap nama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4490.

Justeru, Saifuddin menuntut SPR untuk memberikan penjelasan dan menjejaki mereka yang menjadi dalang kepada tindakan tersebut.

“Bayangkan bantahan tidak dibuat. Akibat kelemahan SPR, proses yang bersih dalam sistem pilihan raya di negara ini tidak berlaku,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.