Zuraida kesal hak wanita Malaysia tidak diiktiraf

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin melahirkan kekesalan kerana wanita-wanita di negara maju seluruh dunia mampu menikmati hak-hak mereka tetapi perkara itu berlaku sebaliknya di negara ini.

Menurutnya, kesaksamaan hak wanita di Malaysia hanya boleh dikatakan sekadar mendapat pengiktirafan secara formal melalui penambahan perkataan ‘jantina’ dalam Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan sahaja kerana pada hakikatnya, tafsiran peruntukan itu masih terhad.

“Adalah masih sukar bagi wanita untuk mendapatkan perlindungan yang penuh dan sewajarnya di bawah undang-undang utama Persekutuan, apatah lagi di bawah undang-undang lain.

“Selain itu, masih terdapat beberapa aspek undang-undang di Malaysia di mana wanita masih mengalami diskriminasi, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, ataupun di mana hak dan kepentingan wanita gagal dilindungi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia kepada Keadilan Daily.com hari ini.

Sehubungan itu, Zuraida mewakili suara wanita Malaysia menuntut agar kerajaan segera menguatkuasakan sepenuhnya peruntukan-peruntukan berkaitan gender yang telah diluluskan dan memasukkan dalam undang-undang (legislation) Malaysia berhubung takrif diskriminasi secara langsung dan tidak langsung.

“Kerajaan Malaysia hendaklah mewujudkan dan menguatkuasakan undang-undang kesaksamaan gender secara bersepadu dan menyeluruh dengan melibatkan setiap peringkat bermula daripada bawah sehingga ke kebangsaan, bagi mencerminkan kesaksamaan substantif antara lelaki dan wanita di arena umum dan persendirian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata pelaksanaan segera tuntutan itu perlu bagi menjamin hak wanita sentiasa terpelihara dan merapatkan jurang gender, terutama dalam politik dan sektor pembuat keputusan yang mengambil contoh berlakunya gangguan seksual terhadap wanita.

“Dengan adanya pelaksanaan tegas begini, wanita tidak akan lagi terdedah dan tertekan kepada jenayah gender, stereotyping gender dan eksploitasi seksual.

“Contoh undang-undang sedemikian termasuk Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumahtangga dan ketiadaan undang-undang sedia ada untuk menangani masalah gangguan seksual dan contoh terbaik sebagai bukti apa yang terjadi kepada gadis muda Penan dieksploitasi sebagai bahan dagangan dan pemuas nafsu pihak berkuasa dan berpengaruh amat menyedihkan.

“Ibu bapa Penan terpaksa berdiam diri, takut dek tekanan pentadbiran kuku besi pemerintah. Inikah erti sebuah suasana masyarakat yang kerajaan Umno Barisan Nasional anjurkan?” soal Zuraida.

No comments

Powered by Blogger.