Miskin tegar di Malaysia: 44,000 jadi 100?

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mempersoalkan
sama ada wujud manipulasi di dalam teks yang dibacakan oleh Seri Paduka
Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin pada titah
ucapan baginda sempena pembukaan mesyuarat di Dewan Rakyat, semalam.

Ia berkaitan data yang mencatatkan jumlah keluarga miskin tegar di
Malaysia yang berkurangan dari 44,000 kepada 100 keluarga sepanjang
tahun 2010.

Beliau menjelaskan demikian ketika mencelah pada sesi perbahasan
menjunjung kasih Ketua Pembangkang yang ketika itu dibacakan oleh Ahli
Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail petang tadi.

“Saya bimbang sekiranya wujud manipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang
ingin memberikan persepsi yang baik kepada Tuanku mengenai data dan
statistik keluarga miskin tegar di Malaysia, sedangkan perkara sebenar
adalah sebaliknya,” jelas Azan.

Pada perenggan ke 27 ucapan Seri Paduka Baginda mencatatkan bahawa,
“Beta bangga jumlah miskin tegar telah berjaya dikurangkan pada tahun
2010. Daripada jumlah itu lebih empat puluh empat ribu ketua isi rumah
tegar yang dikenal pasti pada awal tahun, ia berjaya dikurangkan kepada
sekitar satu ratus pada hujung tahun.”

Dalam pada itu Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohammad
menambah, merujuk kepada data yang diperolehi dari kawasannya sahaja,
sejumlah 414 pelajar yang terdiri dari keluarga yang masih berpendapatan
di bawah paras kemiskinan walaupun hanya seorang sahaja di antara mereka
yang menerima bantuan.

“Justeru, tidak masuk akal sekiranya pihak berkenaan memberikan maklumat
bahawa jumlah keluarga miskin tegar di negara ini telah berkurangan,”
jelas Siti Zailah.

No comments

Powered by Blogger.