Belanjawan Pakatan: Masyarakat bebas, rakyat senang

KUALA LUMPUR, 5 OKT – Pakatan Rakyat bukan sahaja mahu rakyat senang dalam negara yang kaya tetapi juga mahu rakyat menikmati kebebasan dan hak sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Pakatan Rakyat akan memansuhkan semua undang-undang yang membabitkan tahanan tanpa perbicaraan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri tanpa diganti dengan mana-mana akta baru.

Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan reformasi secara menyeluruh dengan:

Menstruktur semula Biro Pengaduan Awam menjadi sebuah institusi Ombudsman;

Meletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen institusi awam utama seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Perangkaan, Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan institusi Obudsman;

Untuk memastikan kebebasan media dengan menghapuskan keperluan permit dengan pemansuhan sepenuhnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Selaras dengan itu akan ditubuhkan Majlis Media yang bebas dengan kawalan sendiri;

Memulihkan autonomi dan kebebasan ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan menghapuskan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, dan dengan itu, membebaskan pelajar-pelajar daripadan cengkaman Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan kepimpinan universiti-universiti awam akan berdasarkan kepada merit; dan

Memansuhkan sepenuhnya Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat pada setiap peringkat kerajaan dengan dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan. Ini akan memastikan akses kepada maklumat yang menjadi kepentingan awam, terkecuali ialah perkara-perkara yang secara tulen berkait dengan keselamatan negara.

Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuh Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri sebagai diktator melalui langkah-langkah seperti:

* Menyalurkan RM10 bilion dari belanjawan budi bicara Perdana Menteri kepada kementerian-kementerian berkenaan;

* Meneliti cadangan-cadangan perbelanjaan dengan rapi di peringkat jawatankuasa Parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti; dan

* Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti implementasi dan hasil daripada perbelanjaan tersebut.

Pemulihan institusi perlu dilaksanakan bagi memastikan keuntungan dari sumber alam semula jadi Malaysia yang kaya dapat diagihkan kepada rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan Pakatan Rakyat, pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang sepatutnya kerana kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan manakala kumpulan pertengahan yang juga meliputi 40 peratus menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.

Secara keseluruhan 80 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan.

Dari segi kelayakan, 70 peratus penduduk hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi manakala dari segi pekerjaan lebih satu pertiga ketua keluarga dalam sektor tidak rasmi.

“Ia sesuatu yang tidak memeranjatkan dalam ketidaksamaan pendapatan di Malaysia adalah tinggi di mana kumpulan 40 peratus di bawah hanya menikmati pendapatan 15 peratus manakala kumpulan 20 peratus diatas menikmati pendapatan 49 peratus.

“Gejala sebuah negara yang terperangkap dengan kelembapan ternyata wujud di Malaysia berikutan dasar yang telah ketinggalan zaman dan pengurusan ekonomi yang lemah hanya mengutamakan sekumpulan individu,” kata kenyataan Pakatan.

Senario semasa Malaysia di bawah pemerintahan Barisan Nasional adalah keadaan di mana:

i) Ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat yang tidak mampu untuk berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup;

ii) Jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi dan pada yang sama wujud rungutan majikan mengenai kekurangan kemahiran dan bakat;

iii) Perbelanjaan subsidi yang telah melambung naik 10 kali ganda; dan

iv) Pelaburan tempatan dan asing adalah kurang menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar.

Dengan itu, Belanjawan Kesejahteraan 2012 Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.

Belanjawan Kesejahteraan 2012 berhasrat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua melalui dasar dan kerangka yang bertujuan meningkatkan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.

Pengenalan gaji minima, mengurangkan jumlah pekerja asing tidak terlatih, meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara besar-besaran akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Keutamaan adalah memberi perhatian khusus untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, maka gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.

Mempertingkatkan keupayaan pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan membolehkan pendapatan boleh guna rakyat yang semakin tinggi. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan memberi kesan baik kepada perbelanjaan tempatan; sesuatu yang penting dalam persekitaran global yang semakin tidak stabil.

Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia untuk mengurangkan kos. Persaingan akan mengurangkan tekanan inflasi dan menjana lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Pakatan Rakyat juga akan golongan muda diberi keutamaan dengan melaksanakan langkah-langkah:

* Memastikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digantikan dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti. RM747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini;

* Sejumlah RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun, untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka melalui sistem undian; dan

* RM 50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.