Isu sekatan media: Punca dari mana ?

Gambar diatas diambil semasa ‘ penghulu parlimen’ Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz serius menegur Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBCC) Datuk Bung Mokthar Raden ( BN-Kinabatangan) petang Selasa tidak lama selepas para ahli jawatankuasa kelab itu bertindak sendiri membuka halangan yang dipasang untuk menghadkan kawasan liputan media di Parlimen.

Kemudiannya ia disertai oleh Pengerusi BNBCC, Datuk Seri Tiong King Sing (BN- Bintulu).

Isunya di sini selepas soal halangan keatas media dibatalkan dan keadaan sudah kembali seperti sediakala ‘perang terbuka’ meletus antara Nazri dengan para ahli Parlimen BN pula.

Menteri Dijabatan Perdana Menteri itu ‘ikut buku’ tegas dengan pendiriannya bahawa BNBBC salah pandai-pandai sendiri bertindak membuka pita halangan kerana mereka tidak ada kuasa keatas pentabiran Parlimen.

Katanya hanya kakitangan Parlimen saja berhak membukanya.

Manakala pihak BNBBC pula merasakan tindakan mereka wajar kerana apa yang mereka cuba lakukan ialah membetulkan keadaan kerana merasakan wartawan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan tugas di Parlimen.

Keadaan menjadi bertambah tegang bila Nazri secara terbuka menghentam mereka dan menyifatkan BNBBC "kebudak-budakan dan dari kelab samseng" seperti yang dilaporkan kebanyakan akhbar pada hari Rabu.

Sebagai tindak balas petang Rabu kedua-dua Tiong dan Bung Mokthar membuat kenyataan pada Bernama membidas Nazri melabelkan anggotanya seumpama itu.

Tiong berkata, wakil rakyat BN merasa terhina dianggap sedemikian sedangkan apa yang mereka cuba lakukan ialah membetulkan keadaan kerana merasakan wartawan tidak seharusnya dihalang daripada menjalankan tugas di Parlimen.

"Setelah kami gagal mendapat penjelasan (mengenai arahan sekatan itu) daripada Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia), jawatankuasa peraturan Parlimen dan menteri itu sendiri, kami merasakan sekatan itu perlu dialihkan," katanya kepada Bernama.

Tiong berkata, tidak wajar bagi Nazri menganggap Anggota Parlimen sebagai samseng dan budak-budak kerana mereka merupakan wakil rakyat.

Katanya, BNBCC akan berbincang Isnin ini mengenai tindakan yang akan diambil seterusnya kerana mereka melihat kenyataan Nazri itu "melampau".

Bung Moktar Radin pula berkata, isu sekatan terhadap wartawan itu turut dibangkitkan oleh wakil rakyat BN dan bukan hanya oleh wakil pembangkang.

"Pada masa rehat waktu makan tengah hari, kami pergi berjumpa Tan Sri Speaker, dan memandangkan tidak ada keputusan, barulah kami bertindak mengalihkan sekatan itu," katanya.

Ekoran bantahan oleh wakil-wakil media, pihak pentadbiran Parlimen semalam membenarkan mereka berada semula di situ.

Sementara itu setakat ini belum jelas bagaimana arahan menghadkan kawasan liputan media dikeluarkan.

Nazri menafikan beliau mengeluarkan arahan itu.

Malah timbul pula cakap-cakap yang mendakwa bahawa arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun Agendadaily diberitahu oleh satu sumber yang layak dipercayai bahawa Abdullah tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu.

“Saya sudah check sendiri hal ini…ia bukan berpunca dari Perdana Menteri,”katanya.

Satu sumber lain pula mendakwa kebelakangan ini memang timbul perhatian berat bukan saja kalangan pentabir Parlimen tetapi dirasai oleh para Ahli Parlimen BN sendiri melihat ‘suasana macam pasar’ wujud di Parlimen.

Ini bilamana para Ahli Parlimen pembangkang membawa masuk orang luar seperti anak-anak pemimpin Hindraf meraikan hari jadi di Parlimen sebagai tanda protes mereka ditahan ISA.

Begitu juga halnya wakil-wakil Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) bebas mengedarkan risalah dan sebagainya dalam parlimen.

Lebih mengejutkan ialah insiden kemasukan sekumpulan orang kurang upaya untuk memprotes kenyataan Ahli Parlimen bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dan Bung Mokthar terhadap Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor Karpal Singh ( yang berkerusi roda) yang dianggap menghina OKU.

Perdebatan hangat dan riuh telah berlaku antara dua Ahli Parlimen itu di kawasan lobi Parlimen – satu hal yang belum pernah berlaku selama ini.

Apapun ramai yang terkejut kenapa tindakan menghadkan kawasan liputan media pula yang berbangkit kerana ia sepatutnya melibatkan soal kemasukan pelawat luar ke dalam Parlimen.

“ Hairannya kenapa pentabir parlimen zero in pada petugas media semasa sekatan itu dikuatkuasakan pada pagi Selasa,” kata seorang wartawan kanan yang betugas membuat liputan sidang Dewan Rakyat.

Suasana Parlimen sekarang memang bukan seperti dulu-dulu.Lepas pilihanraya umum 8 Mac,sidang Dewan Rakyat semacam menjadi satu tarikan.

Rombongan para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta badan-badan lain tak putus-putus setiap hari.

Keadaannya berterusan ‘ bersemangat’ sejak sesi sidang pertama hingga ke sidang yang sedang berlangsung sekarang.

Ini berbeza dengan dulu yang biasanya lengang bila sidang sebelah petang.

Ramai tak ramai orang yang datang ke Parlimen dapat diukur dari jumlah kereta yang berada sekitar kawasan letak kereta yang saban hari sesak.Ramai juga yang terpaksa letak kereta jauh di luar pagar bangunan Parlimen.

Semua ini dikatakan mencetuskan kebimbangan tentang soal keselamatan dan sebagainya.

Cuma seperti diakui oleh beberapa Ahli Parlimen yang ditemui mereka turut hairan kenapa sekatan hari Selasa itu jatuh keatas media pula sedangkan para wartawan tidak pernah mencetuskan masalah selama ini.

“Memanglah adakalanya mereka berebut mengejar dan mengepung menteri dan para Ahli Parlimen untuk dapat ulasan sesuatu isu…tapi ia hal biasa dalam tugas para wartawan,”kata mereka.- 26/6/2008



------------------------------------



Kecoh pasal sekatan liputan media di Parlimen sudah beres…Nazri tak puashati tindakan BNBBC

Isu sekatan keatas kawasan liputan media di Parlimen yang selesai menerusi pengumuman rasmi yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia tengahari Rabu kini beralih arah kepada rasa tidak puashati Menteri Di Jabatan Perana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz terhadap tindakan beberapa anggota Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) bertindak sendiri membuang sekatan itu awal petang Selasa.

Bercakap kepada para wartawan di lobi Parlimen menteri yang jaga urusan Parlimen itu menilai perbuatan itu menjadi contoh tidak baik kepada orang ramai dan tidak menghormati Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Baginya walaupun mereka terdiri dari para Ahli Parlimen tetapi mereka tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Menurutnya kuasa di Dewan Rakyat terletak ditangan yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Siapa mereka untuk buat macam tu? Saya tidak boleh terima perbuatan itu. Macam budak-budak. Mereka tak ada kuasa untuk buat begitu dan kuasa di dewan ini (Parlimen) terletak di tangan Yang Dipertua, yang berhak membuat sesuatu keputusan.

“Kamu (anggota BNBBC) ingat kamu boleh buat apa yang kamu mahu? Ini kelab samseng ke?.

“Mereka patut tahu kedudukan mereka di Dewan ini. Jangan ulangi perbuatan begitu kerana ia memalukan saya.

“Sebelum ini, saya sering mengkritik Pembangkang. Sekarang saya bertindak begitu pula terhadap BNBBC,” katanya.

Nazri bagaimanapun menolak andaian bahawa beliau terbabit dalam pengeluaran arahan tidak membenarkan petugas media berlegar di lobi Parlimen.

Sementara itu Pandikar Amin Mulia yang mengumumkan pembatalan sekatan itu ketika ditemui para wartawan di pejabatnya berkata wakil media perlu menjaga etika kerja dan tidak mengabaikan aspek keselamatan yang dititikberatkan oleh Parlimen.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada larangan itu ditarik balik kerana tidak mahu wujud "kategori menang dan kalah".

"Kalau saya cakap menarik balik halangan itu, nanti boleh tengok siapa yang menang. Kalahlah saya dan orang yang mengeluarkan arahan. Saya tidak mahu siapa kalah, siapa menang.

"Media boleh buat kerja macam biasa namun jangan lupa etika kerja dan perlu menjaga diri.

Kadangkala, dapat dilihat wartawan bertindih-tindih sesama mereka, dan menyucuk wayar dari arah yang tidak tentu. Ini merimaskan Anggota Parlimen sama ada menteri dan sebagainya," katanya.

Pandikar Amin berkata beliau telah berbincang dengan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Ketua Whip dan ketua pembangkang mengenai isu liputan media.

"Nampaknya mereka selesa dengan cara media menghampiri mereka dan tidak ada masalah. Jadi teruskanlah dengan keadaan itu namun mesti jaga diri serta etika kerja," katanya.

Pandikar Amin berkata masalah kesesakan di lobi timbul kerana terdapat terlalu ramai wakil media selain ada Anggota Parlimen yang membawa sehingga lima orang rakan selain pegawai-pegawai kementerian.

"Kalau sehingga 100 orang daripada kamu (media) dan setiap anggota Parlimen bawa sampai lima orang, sudah berapa ratus? Katanya itu soal kebebasan tetapi adakah itu yang dinamakan kebebasan apabila turut melibatkan aspek keselamatan," katanya.

Pandikar Amin berkata perkara-perkara seperti sambutan hari jadi yang dianjurkan oleh pembangkang di lobi Parlimen seperti yang berlaku pada persidangan lepas menampakkan kelemahan keselamatan di Parlimen.

Pengerusi BNBCC Datuk Tiong Kee Sing ketika ditemui berkata isu larangan itu telahpun selesai dan media bebas bergerak tanpa sekatan seperti semalam.- 25/6/2008


-------------------------------





Para Ahli Parlimen BN bertindak sendiri buka halangan...

Tepat jam 2.10 petang Selasa halangan kepada media di lobi Parlimen dibuka oleh jawatankuasa Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) diketuai oleh Datuk Seri Tiong King Sing, Datuk Bung Mokhtar, Datuk Mohamad Aziz dan beberapa yang lain.

Tindakan mereka disambut tepukan kalangan wartawan. Mereka pula menjawab kami mesra media.

Sebelum itu beberapa sidang media telah diboikot oleh para wartawan ekoran keputusan menghalang pergerakan bebas wartawan oleh pihak pentadbiran Parlimen.

Menurut Tiong yang juga Ahli Parlimen BN kawasan Bintulu pihak BNBBC sendiri tidak diberitahu mengenai keputusan pentabiran Parlimen menyekat media pagi Selasa.

"Jadi kami pun buka tanpa perlu maklum kepada pentabir Parlimen,"katanya ketika ditanya samada BNBBC telah mendapat persetujuan Parlimen mengenai tindakan mereka.

Apapun lepas itu kebanyakan wartawan dan jurugambar tidak memasuki kawasan larangan berkenaan kerana menggangap ia bukan satu keputusan rasmi pentabir Parlimen. Gambar atas - Para ahli jawatankuasa BNBBC dikerumuni oleh para wartawan sejurus mereka buka halangan kepada media di lobi parlimen.- 24/6/2008

--------------------



Ini berat punya kes...

Buat pertama kali dalam sejarah, wartawan yang membuat liputan sidang Dewan Rakyat menghadapi sekatan pergerakan yang menyebabkan mereka tidak boleh bebas bergerak di kawasan lobi Parlimen.

Sekatan yang dibuat hanya membolehkan wartawan bergerak dari bilik media ke kantin serta tempat sidang media yang dikhaskan. Ekoran larangan tersebut, wartawan yang membuat liputan mengambil tindakan memboikot sidang media yang dianjurkan di Parlimen.

Pada kebiasaannya, wartawan bebas bergerak di lobi Parlimen untuk mendapatkan rekasi serta komen para Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen.

Agendadaily sempat menemui Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Tiong King Sing membangkitkan soal halangan berkenaan.

Beliau menjelaskan, arahan tersebut tidak ada kena mengena dengan kelab berkenaan dan beliau telah berusaha untuk menemui Speaker Dewan Rakyat untuk membincangkan isu sekatan berkenaan.

Namun katanya, Speaker tidak ada ada di pejabatnya dan beliau berjanji untuk membantu mencari penyelesaian kepada isu sekatan itu. Gambar atas- Pita yang direntang pagi Selasa di lobi Parlimen halangan untuk halang pergerakan media .- 24/6/2008

No comments

Powered by Blogger.