Berita kerjasama PAS dan Umno satu fitnah - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Hrkh) - Presiden PAS hari ini membidas kenyataan yang dimainkan sesetengah pihak berhubung isu kerjasama PAS dan Umno dengan penegasan bahawa ianya merupakan fitnah semata-mata.

ImageDalam satu sidang media di Dewan Rakyat yang dibacakan oleh timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa beliau berkata, akibat tindakan pihak media tersebut menyebabkan timbul kecurigaan dan kebimbangan umum khususnya ahli dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat.

"PAS cukup menyedari usaha ini yang telah mencetuskan kegelisahan di kalangan kepimpinan Pakatan Rakyat serta kemarahan ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat, kami amat sedar mengapa Umno-BN menggunakan taktik ini dalam keadaan mereka tersepit dengan pelbagai krisis kepimpinan dalaman serta berdepan dengan pelbagai kemarahan rakyat dengan isu kenaikan harga minyak dan inflasi," ujarnya.

Jelasnya dengan tegas bahawa tiada sebarang rundingan kerjasama dibuat parti itu dengan Umno-BN.

Malah, beliau turut menafikan desas-desus sesetengah pihak yang mendakwa berlaku pertemuan antara pihaknya dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak di London baru-baru ini yang kononnya memberi peluang kepada perbincangan mengenai kerjasama kedua-dua parti itu berlaku.

Image"Ia merupakan suatu dakwaan yang tidak bertanggung jawab, tidak beretika dan berunsur fitnah kerana tujuan saya ke sana adalah untuk menghadiri seminar mewakili parlimen Malaysia," katanya tegas.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz yang enggan mengadakan kerjasama dengan Umno-BN tetapi tidak menolak bertemu dengan mana-mana pemimpin parti itu, Nasharudin turut menyokong pandangan tersebut.

"Ia adalah suatu perkara yang menjadi kebiasaan antara pemimpin-pemimpin parti tanpa suatu agenda tertentu yang membabitkan keputusan dasar parti," jelasnya.

PAS juga ujarnya sedang meneliti sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit yang telah mencetuskan kekecohan serta memfitnah parti tersebut.

"Saya tidak menafikan ia mungkin suatu strategi untuk mewujudkan kontroversi pada Pakatan Rakyat terutamanya di kalangan penyokong bagi mengalih perhatian rakyat dengan kelemahan kerajaan yang sedia ada," katanya lagi.

ImageTambahnya, kemenangan yang diperolehi daripada Pilihan Raya Umum ke-12 adalah merupakan harapan seluruh rakyat untuk PAS bersama dengan Pakatan Rakyat membawa kehidupan rakyat yang sejahtera.

Dalam kenyataan tersebut juga, Ustaz Hadi mengalu-alukan sokongan semua pihak bagi merealisasikan usaha Pakatan Rakyat menyelamatkan negara daripada terus dihimpit oleh kesempitan hidup akibat daripada polisi kepimpinan negara yang tempang dan tidak bertanggung jawab.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Setiausaha Agong PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, Bendahari, Dr Hatta Ramli, Ketua Penerangan, Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

No comments

Powered by Blogger.