Peraduan '100 hari 100 kereta' haram: Jakim


TERIMA KEPUTUSAN: Shazalli (kanan) bersama Hassan (tengah) dan Wan Mohamad pada sidang media mengenai keputusan peraduan Celcom �100 Hari 100 Kereta� di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, semalam.

PUTRAJAYA: Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam memutuskan, Peraduan '100 Hari 100 Kereta' anjuran Celcom (Malaysia) Bhd melanggar syariah dan mengandungi unsur judi.

Serentak itu, panel berkenaan mengarahkan Celcom menamatkan serta-merta peraduan itu atau menggubal semula konsep dan termanya supaya menepati kehendak syariah jika ingin meneruskannya.

Pengerusi panel yang juga Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, berkata mereka mendapati peraduan itu juga bersifat gharar, iaitu mengandungi unsur tidak jelas, eksploitasi serta menggalakkan pembaziran.


"Justeru peraduan yang berlandaskan terma dan syarat sedia ada tidak boleh diteruskan. Jika ingin meneruskannya, ia perlu mengikut konsep baru yang selari syariah Islam," katanya kepada Berita Harian selepas mempengerusikan mesyuarat panel itu di Bangi, semalam.

Mesyuarat hampir tiga jam itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly.

Peraduan yang berlangsung sejak 2 Jun lalu itu menawarkan 100 unit Toyota Camry 2.0E 1AZ-FE setiap hari selama 100 hari berturut-turut kepada pelanggan pasca bayar dan prabayar Celcom.

Bagi memenangi hadiah itu, pelanggan Celcom perlu menaip kata kunci CARS dan hantar melalui SMS ke nombor 22222. Pelanggan yang dapat menjawab soalan dengan tepat diberi mata dan berpeluang dipilih pemenang.

Peserta dengan mata tertinggi juga berpeluang memenangi sebuah Toyota Camry pada hujung minggu dan setiap jawapan yang dihantar dikenakan bayaran RM5.

Setakat ini, 12 pelanggan Celcom sudah memenangi kereta itu sebelum peraduan terbabit dihentikan sementara pada 13 Jun lalu berikutan arahan panel berkenaan selepas mesyuarat pertamanya dengan Celcom, minggu lalu.

Sementara itu, Shazalli berkata, Celcom akur dengan keputusan panel berkenaan dan bersetuju mengkaji semula terma serta syarat peraduan itu dengan kerjasama Jakim.

"Peraduan ini akan digantung sementara sehingga Jakim berpuas hati dengan konsep dan terma baru yang akan digubal semula.

"Kita akan buat pengumuman selepas mengkaji bahagian yang perlu diperbetulkan, tetapi buat masa ini biarlah kita selesaikan isu syariah ini dengan Jakim," katanya tetapi enggan mengulas sama ada caj terhadap peserta peraduan itu akan dihapuskan.

Beliau berkata, keputusan itu tidak menjejaskan imej Celcom, sebaliknya meyakinkan pelanggan untuk menggunakan produk syarikat itu tanpa was-was kerana sebarang peraduan selepas ini akan dibuat dengan kerjasama Jakim bagi memastikan ia menepati tuntutan syariah.

"Kes ini diharap menjadi pengajaran kepada syarikat telekomunikasi dalam menganjurkan peraduan menggunakan SMS kerana ia membabitkan aspek terma dan syarat perjanjian jual-beli," katanya.

Wan Mohamad pula berkata, Jakim akan mengeluarkan satu garis panduan berhubung penggunaan SMS dalam peraduan bagi menerangkan prosedur yang perlu dipatuhi syarikat telekomunikasi.

"Sebenarnya hukum penggunaan SMS sudah jelas seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2004, iaitu peraduan berbayar menerusi SMS adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian.

"Oleh itu, Jakim menasihatkan umat Islam mengambil kira aspek syariah sebelum menyertai sebarang peraduan dan pertandingan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.