Sabar dengan ujian
Kehidupan kita didunia ini penuh dengan ujian. Allah sengaja mengadakan ujian itu semata-mata untuk melihat siapakah diantara kita yang terbaik disisinya. FimanNya :
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬ۚ وَهُوَ
ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
“ Dialah yang menjadikan mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia maha kuasa (membalas amal kamu), lagi maha pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat) ” (Surah al-Mulk Ayat : 2)
Segala yang ada didunia ini hanyalah ujian semata-mata. Tiada manusia yang akan terlepas dari melaluinya. Tidak kira apapun pangkatnya, selagi dia bernama manusia, maka dia akan merasai ujian dari Allah. Bermula dari Nabi Adam hinggalah kepada pemimpin-pemimpin, raja-raja, saudara mara kita dan juga termasuk diri kita sendiri. Sebagai seorang yang beriman kepada qada’ dan qadar dari Allah, kita wajib percaya bahawa ujian itu datangnya dari Allah.
Ada orang menganggap bahawa apabila mereka ditimpa kesusahan maka itu adalah bala atau kemurkaan dari Allah. Dan apabila mereka mendapat kemewahan dan kesenangan maka pada mereka itulah rahmat yang dikurniakan. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Kemewahan itu juga adalah ujian dan bukan hanya ujian itu apabila kita mendapat kesusahan.
Saidina Abu Bakar pernah berkata bahawa “ Ketika orang-orang Islam menerima ujian kesusahan, kami semua dapat mengharunginya. Tetapi apabila datang ujian kemewahan, hampir-hampir kami tewas ”.
Kenyataan Saidina Abu Bakar ini sebenarnya menunjukkan bahawa ujian kemewahan adalah lebih dahsyat lagi jika dibandingkan dengan ujian kesusahan kerana apabila ditimpa susah, kita sentiasa akan mengingati Allah. Tetapi apabila kita diuji dengan kesenangan, maka kita teramat mudah untuk menjadi lupa diri, sombong, bakhil, takbur dan sebagainya.
Sabar :
Ada diantara manusia cepat merasa kecewa, marah serta putus harap apabila kita ditimpa kesusahan. Itu bukanlah sifat seorang muslim kerana orang muslim tiada erti putus asa atau kecewa baginya. Mereka yang kecewa ini lekas hilang kesabaran terutamanya apabila kehilangan sesuatu yang paling bermakna dalam kehidupan mereka.Sehinggakan ada juga yang menjadi lebih teruk dengan sanggup untuk menyalahkan takdir Allah.
Kita sebagai ummat Islam dilarang daripada berkeluh kesah diatas ujian yang menimpa kita. Dalam menghadapi ujian samada susah atau senang kita mestilah bersabar. Ya benar, bukan perkara yang senang bagi orang yang terkena ujian menterjemahkan perkataan SABAR itu dalam bentuk praktikal tetapi percayalah, itulah perkara yang paling mulia apabila ditimpa ujian.Dengan kesabaranlah Allah akan mengangkat darjat kemuliaan kita. Dengan sabar juga hati menjadi tenang kerana mengingatkan kita bahawa ini adalah ujian dari Allah.
Sebuah hadith daripada Abu Yahya Shuhaib bin Sinan.Nabi s.a.w bersabda “Sungguh unik urusan orang yang beriman itu. Semua urusannya baik baginya. Hal ini hanya dimiliki oleh orang yang beriman. Jika dia memperolehi kegembiraan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika dia dirimpa kesulitan, dia bersabar dan itu baik baginya. ” Riwayat Muslim.
Hadis ini menunjukkan bahawa senang atau susah bagi seorang muslim, adalah kebaikan dan bernilai pahala di sisi Allah jika dia bersabar dan redho menerimanya. Seorang mukmin sejati akan sentiasa bersabar dan bersyukur kepada Allah samada diwaktu senang ataupun susah. Dan pastinyalah atas kesabaran itu,maka mereka akan merasai ketenangan hidup.
Lihatlah kesabaran para nabi-nabi apabila datangnya ujian dari Allah. Lihatlah ujian yang ditimpakan keatas Nabi Ayyub. Baginda menghadapi ujian kesakitan, kematian anak-anaknya dan juga kehilangan harta benda. Begitu juga Nabi Nuh dengan tohmahan kaumnya, Nabi Musa dengan kedegilan kaumnya dan banyak lagi. Dek kerana kesabaran yang tinggi yang dimiliki oleh merekalah maka Allah mengangkat darjat mereka.
Oleh itu haruslah kita menanamkam didalam pemikiran kita bahawa hidup ini tidak lain hanyalah ujian semata-mata. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa mengingati bahawa semua kejadian adalah datang dari Allah. Setiap kejadian Allah itu pula ada hikmahnya. Cepat atau lambat, pasti kita akan dapat melihat hikmah itu. Mungkin hikmah itu akan kita lihat didunia ini, atau mungkin juga hikmah itu hanya dapat diketahui diakhirat nanti.
Semoga Allah akan sentiasa meletakkan diri kita semua dalam golongan orang yang mendapat rahmat dariNya. InsyaAllah.
Wallahua’lam
No comments
Post a Comment