Kualiti IPTA negara menjunam akibat Umno

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan, mutu serta kualiti pengajian tinggi di Malaysia menurun disebabkan sikap pemimpin Umno yang tidak telus melantik golongan cerdik pandai untuk menerajui universiti-universiti di Malaysia.

Ini kerana tegas beliau, Umno hanya melantik golongan dari kalangan mereka sahaja bagi menerajui universiti di Malaysia dan ia jelas memperlihatkan amalan kroninesme dalam memilih pentadbir universiti.

"Perkara ini menyebabkan kualiti pengajian tinggi di Malaysia menjunam dengan teruk sekali sehingga tiada satu pun universiti di Malaysia yang tersenarai dalam ranking universiti terbaik dunia.

"Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia sekitar lapan tahun dahulu kini langsung terkeluar dari senarai universiti terbaik dunia,"jelasnya ketika menyampaikan ceramahnya dalam program "Pemimpin Bersama Rakyat" yang diadakan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang baru-baru ini.

Tambahnya, ini disebabkan sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya memilih individu yang pro kepada mereka sahaja untuk menerajui universiti tersebut dan bukan berdasarkan kemampuan dan kebolehan individu.

Tegas Dato' Seri Anwar lagi, dasar Pakatan Rakyat apabila membentuk kerajaan persekutuan nanti adalah memastikan pentadbiran universiti di Malaysia ditadbir dengan telus dan baik.

"Dalam Pakatan Rakyat hanya mereka yang benar-benar mempunyai kelayakan dan berkemampuan akan dipilih menerajui dan mentadbir universiti di Malaysia tanpa adanya unsur kroninisme demi mengangkat mutu pengajian tinggi di Malaysia agar setanding di peringkat dunia,"katanya.

Program tersebut berjaya menghimpunkan ribuan rakyat Pulau Pinang dari pelbagai kaum. Mengikut rekod, program tersebut berjaya menghimpunkan jumlah pengunjung paling ramai dalam sejarah Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Selain Dato' Seri Anwar turut berpidato ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

No comments

Powered by Blogger.