Kenyataan Media Dato' Husam, Berhubung Mesyuarat MT BN 19 Jun 2008
Parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan masa depan kerajaan Barisan Nasional. Untuk tujuan itu, demi menjamin survival Barisan Nasional, langkah paling mudah adalah meminta Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengundurkan diri dengan serta merta.
Pengunduran Dato’ Seri Abdullah akan membolehkan perubahan teraju di dalam Barisan Nasional dan seterusnya perlantikan Perdana Menteri yang baru. Hanya dengan pertukaran kepimpinan sahaja akan berkemungkinan membantu wujudnya keyakinan terhadap usaha pengukuhan semula Barisan Nasional.
Pilihanraya ke 12 yang lalu telah menyaksikan bagaimana Parti-Parti Komponen Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia mengalami keputusan yang paling buruk di dalam sejarah Barisan Nasional. Parti-Parti ini telah melakukan post-mortem dan juga mendengar keluhan akar umbinya. Tidak dapat dinafikan, faktor utama yang menyebabkan prestasi buruk ini adalah berhubung rapat dengan penolakan kepimpinan Dato’ Seri Abdullah oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong serta pengundi-pengundi yang sebelum ini setia dengan Barisan Nasional.
Oleh yang demikian, mekanisme perubahan dalaman boleh untuk sementara waktu meredakan masalah Barisan Nasional dan kekeliruan ahli-ahli parti komponen terhadap masa depan Barisan Nasional
Sidang tergempar BN tanpa keputusan konkrit memperkuatkan lagi tanggapan bahawa Barisan Nasional tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendisiplinkan anggotanya dan berdepan dengan pilihan yang terhad dalam mempertahankan survivalnya. Mempertimbangkan perletakkan jawatan Dato’ Seri Abdullah adalah yang sepatutnya di dalam mesyuarat semalam dan bukannya bermesyuarat tetapi hasilnya hanyalah pengumuman satu keputusan yang longgar.
Sekian, terima kasih.
http://www.husammusa.com/
No comments
Post a Comment