hebatnya fikiran seorang ulamak

Terdapat langkah yang lebih sesuai bagi meringankan beban kakitangan awam sebagaimana yang pernah dicadangkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jika itu dilaksanakan bermakna dalam setahun kakitangan awam memperolehi hampir 12.4 kali bayaran gaji. Ini berdasarkan bulan hijrah 11 hari lebih pendek daripada bulan masehi.



Cadangan Nik Abduil Aziz itu dilihat lebih konkrit dan praktikal untuk meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak berbanding pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa bayaran gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan.



Ansuran dua kali sebulan bukan bermakna meningkatkan pendapatan rakyat sebaliknya ia boleh meningkatkan bebanan rakyat yang berpendapatan kecil. Mungkin maksud Abdullah untuk mengawal perbelanjaan rakyat. Cadangan Abdullah itu barangkali berkesan kepada kakitangan awam yang berpendapatan tinggi.



Bagi golongan berpendapatan kecil, bagaimana bentuk penjimatan lagi yang perlu dilakukan oleh mereka. Setiap hujung bulan, bayaran sewa rumah dan ansuran kereta perlu dijelaskan. Sekiranya hanya separuh gaji yang diterima pada hujung bulan keadaan akan bertambah rumit.



Oleh yang demikian sebagaimana dakwaan Abdullah untuk meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak, sepatutnya beliau mengambil cadangan Nik Abdul Aziz itu yang lebih munasabah yang serentak memartabatkan takwim hijrah.



Beberapa tahun dahulu Nik Abdul Aziz pernah mencadangkan gaji kakitangan kerajaan negeri di bayar mengikut takwim hijrah bagi memartabatkan tahun tersebut di samping ia sentiasa dan mudah menjadi ingatan kepada umat Islam untuk beramal dengan bulan hijrah. Ia juga mendekatkan umat dengan peristiwa Islam serta hari kebesaran dan keagungan Islam.



Bagaimanapun cadangan tersebut senyap begitu sahaja kerana tidak bersesuaian dengan pembayaran gaji kerajaan pusat. Namun begitu Nik Abdul Aziz mungkin boleh membangkitkan semula cadangan tersebut apabila Abdullah membuat pengumuman bayaran gaji dua kali sebulan.



Pengumuman Abdullah itu tidaklah memberi erti yang besar kepada rakyat. Sebaliknya cadangan Nik Abdul Aziz ia membangkitkan nostalgia keagungan Islam serta memberi keuntungan kepada kakitangan awam.



Cadangan Nik Abdul Aziz itu juga dikatakan mendapat sokongan bukan Islam walaupun tidak dinyatakan secara terangan. Sekumpulan bukan Islam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melihat cadangan tersebut merupakan satu yung baik kepada rakyat Kelantan.



Sekiranya usaha kerajaan Kelantan berjaya ia akan menarik minat umat Islam dan bukan Islam kepada pemerintahan ulama Kelantan. Kejayaan pemerintah Kelantan merealisasikan Islam itu sebaliknya merugikan kakitangan awam di bawah kerajaan pusat dan negeri lain yang tidak diperintah oleh PAS.



Lalu mereka menghantar satu memorandum meminta kerajaan membayar gaji kakitangan awam sebanyak 13 kali setahun. Mengikut laporan NGO terbabit, tentang pelaksanaannya ia terpulang kepada satu mekanisme yang boleh dibentuk kerajaan melalui perbincangan yang lebih lanjut.



Bagaimanapun apabila kerajaan Kelantan tidak berjaya membuat perubahan pelaksaaan tersebut maka isu itu senyap begitu sahaja dan pihak NGO terbabit juga tidak lagi menuntut dengan kerajaan pusat.



Sementara itu, bendahari Persatuan Ekonomi Universiti Malaya (PEKUMA) saudara Ahmad Fahmi Salleh berpendapat bahawa kerajaan pusat wajar mengkaji cadangan pembayaran gaji mengikut takwim hijrah kerana ia mampu meringankan beban rakyat kerana jumlah hari dalam takwim Islam adalah lebih pendek.



“Tempoh 30 dan 31 hari dalam satu bulan masihi adalah tempoh yang memeritkan bagi seorang rakyat bawahan menanti gaji bulanan mereka.Dengan pembayaran gaji mengikut takwim Islam, sekurang-kurangnya ia mampu memendekkan tempoh penantian itu”-mahasiswakini

No comments

Powered by Blogger.