Tiada pembaharuan dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 - Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Hrkh) - Pakatan Rakyat menyifatkan tiada sebarang pembaharuan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat, semalam.
Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, pembentangan tersebut merupakan perkara yang sama diulangi oleh Abdullah.
Ini katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok, fakta-fakta yang disebutnya itu boleh dipertikaikan khasnya mengenai kesejahteraan hidup rakyat.
"Kita semua sedia maklum mutakhir ini rakyat sedang mengalami penderitaan yang cukup teruk di segi taraf kehidupan.
"Jadi saya tidak nampak apa yang baru dalam pembentangan tersebut. Ia hanya satu ulangan kepada kenyataan-kenyataan sebelum ini dan tidak memberikan sebarang pembaharuan, konkrit dan solid untuk masa depan kesejahteraan hidup rakyat secara umum," katanya yang ditemui di Lobi Parlimen.
Dalam pembentangan kajian separuh penggal RMK-9 di parlimen semalam, Abdullah berkata kerajaan akan melaksanakan enam strategi utama bagi menangani ketidaksamaan sosioekonomi di antara kumpulan etnik, wilayah bandar dan luar bandar.
Strategi tersebut ialah membasmi kemiskinan, menambah baik pengagihan pendapatan, menyusun semula hak milik, menyusun semula guna tenaga, mencapai keseimbangan wilayah dan membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, rakyat mengharapkan akan ada pengumuman dasar-dasar penting dan inisiatif-inisiatif baru.
Katanya yang ditemui di Lobi Parlimen, kerajaan sendiri mengakui kadar inflasi berada di peringkat teruk.
"Harga minyak dinaikkam pada kadar yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia dan dunia.
"Bagaimanapun malang sekali tidak ada apa-apa yang baru kita dengar dan tidak ada apa-apa yang boleh melegakan hati rakyat yang sedang tertunggu hadiah yang mereka akan perolehi daripada kerajaan Barisan Nasional," katanya dan beliau percaya rakyat hampa dengan ucapan Abdullah itu
Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sependapat dengan Nasharudin dan Dato' Kamarudin berkata, dalam keadaan kerajaan menaikkan harga minyak mereka meminta pula rakyat mengorbankan cara hidup.
Sekali gus, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, kehidupan rakyat terbanyak terseksa terutamanya golongan miskin.
"Ini adalah satu kontradiksi apabila mereka menaikkan harga minyak dan dengan sendirinya menyeksa dan menyusahkan golongan berpendapatan rendah," katanya.
Malah katanya, kerajaan tidak mengambil kira langkah drastik tersebut menyusahkan hidup rakyat.
Katanya, sememangnya beliau memahami bahawa negara tidak boleh menanggung subsidi begitu lama.
Namun katanya, kerajaan boleh melakukannya secara berperingkat kerana kerajaan masih lagi ada dana.
"Ini menunjukkan rancangan kerajaan tidak menyeluruh selepas diberikan peningkatan harga petrol mereka terus memberi rebat kepada rakyat dan selepas itu akan memotong elaun menteri," katanya.
Cara tersebut katanya, menggambarkan pengurusan tidak mengambil kira dan memikir secara menyeluruh.
Dengan itu katanya, pembentangan kajian separuh penggal RMK-9 tidak ada perubahan untuk rakyat. - mns_
No comments
Post a Comment