Maksud tersirat kata-kata Najib menjelang pemilihan?

Politik tempatan kini menjurus kepada kenyataan ringkas Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak malam tadi.

Dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri di sisinya, Najib memberikan kenyataan ini: "Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi."

Najib, yang turut mengambil bahagian dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan Abdullah semalam, mengeluarkan kenyataan yang tersirat maksudnya apabila ditanya sama ada beliau akan merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Masa ada lima bulan lagi menjelang pemilihan peringkat pusat Umno. Bagaimanapun siapa yang bertanding jawatan apa dapat diketahui menjelang awal November ini.

Timbalan Perdana Menteri itu menarik perhatian banyak pihak dengan menyebut belum tiba masa untuk beliau mengumumkan mengenai perkara itu. Ramai menyangka beliau akan menyatakan dengan tegas "tidak".


SIAPA NAJIB?

DATUK Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak lahir pada 1953 dan menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2003.

Pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen ketika berusia 23 tahun pada 1976 dengan menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil selepas Tun Abdul Razak (ayahnya) meninggal dunia. Merupakan Timbalan Perdana Menteri kesembilan .

Najib menjadi timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978. Empat tahun kemudian beliau menjadi Menteri Besar paling muda, yang dipegang sehingga 1986, dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.

Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Kewangan, Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pendidikan. Kini merupakan Menteri Pertahanan.

Di peringkat Umno, Najib dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan Exco Pemuda pada 1976. Kemudian sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO tahun 1981. Tahun berikutnya, Najib memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding. Pada 1987, beliau memangku jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dan mengambil alih jawatan itu dalam pemilihan parti.

Pada 1993 pula, beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dan mempertahankan kerusi itu pada 1996 dan 2000. Memegang jawatan Timbalan Presiden Umno sejak 2004. Jika bertanding kali ini bermakna akan mempertahankan kerusi ini buat penggal kedua.




Tidak dapat dinafikan 'demam' pemilihan menyelubungi keseluruhan parti buat masa sekarang. Hampir setiap pemimpin Umno ditanya mengenai kedudukan masing-masing. Begitu juga Najib nampaknya!

Jika demikian keadaannya, mengapa Najib harus mengatakan yang beliau masih belum bercadang dan akan membuat ketetapan apabila tiba waktu yang sesuai? Mengapa tidak Najib hanya mengatakan "tidak" untuk menutup sama sekali desas-desus yang mengatakan beliau akan mencabar Abdullah Disember ini.

Sebenarnya kenyataan terbaru Najib ini melanjutkan lagi nyawa spekulasi politik tanah air.

Dalam satu temu bual dengan mStar Online dua minggu lalu, bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa tidak ada sesiapa yang berupaya melawan Abdullah dalam pemilihan kali ini. Ini termasuklah Najib dan Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menawarkan diri untuk mencabar Abdullah.

Jika begitu, sekali lagi persoalan yang diketengahkan - mengapa Najib tidak menutup desas-desus sedemikian menerusi kata-kata bahawa "saya tidak akan menyaingi jawatan Presiden" atau "saya akan menyokong Abdullah untuk jawatan Presiden".

Persoalan ini juga dikaitkan dengan perkembangan politik tanah air khususnya yang berkaitan dengan Umno sejak dua minggu lalu.
Sekali lagi pemerhati politik cuba mengaitkan dengan perkembangan semasa kandungan akuan berkanun yang difailkan oleh editor portal berita secara online Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin. Kenyataan terbaru Najib juga membayangkan kesan akuan berkanun berkenaan?

Perlu diakui Najib telah pun mengetepikan kandungan akuan berkanun itu dengan menyifatkannya sebagai "rekaan dan sampah."
Najib juga menegaskan dakwaan Raja Petra itu merupakan "cubaan terdesak dan teruk untuk mencemar dan memburukkan imej politik saya."

Sepuluh hari sebelum itu, Abdullah mengulangi beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan Disember ini. Beliau berkata, tiada alasan bagi beliau untuk tidak bertanding.

Pada 13 Jun lalu di Kota Bharu, Abdullah mengumumkan beliau dan Najib telah sepakat menentukan masa yang terbaik bagi peralihan kuasa - yang disentuh banyak pihak ekoran kesan dan prestasi Umno dan BN dalam pilihan raya umum lalu.

“Saya dan Najib telah muafakat dan kita berdua telah sama-sama setuju bilakah masanya saya nak bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih dan menjadi Perdana Menteri.

“Tiada masalah antara kami berdua, jadi tidak payahlah sesiapa pun nak timbulkan perkara ini kerana antara yang hendak menyerah dan menerima sudah ada persetujuan,” kata Abdullah.

Sehari sebelum itu di London, Najib pula menegaskan, beliau tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan UMNO, malah jauh sekali daripada menghancurkan parti itu hanya demi kepentingan untuk memegang kuasa.

Menurutnya, beliau percaya peralihan kuasa UMNO perlu dilakukan menerusi tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak yang akan menyebabkan parti lemah serta tidak berupaya menghadapi cabaran pilihan raya.

Di sebalik perkembangan sepanjang dua minggu lalu, kenyataan terbaru Najib turut menimbulkan spekulasi terbaru dalam kitaran politik Umno.

Apakah Umno yang nampak mula stabil dan mantap sejak sebulan lalu, lebih-lebih lagi selepas retreat dan usul kenaikan harga petroleum dan barangan yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, mula bergelora dengan Najib memberi petunjuk bahawa beliau juga masih 'berminat' untuk bersaing jawatan Presiden.

Mesyuarat peringkat cawangan akan bermula dalam dua minggu lagi manakala peringkat bahagian pula Oktober ini, yang akan mencalonkan pemimpin pilihan masing-masing untuk jawatan-jawatan pusat.

Kenyataan terbaru Najib ini bertujuan mempersiapkan diri beliau sebelum terlambat dan diatasi Tengku Razaleigh yang kemungkinan dikatakan akan 'berganding' dengan Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kedudukan nombor dua parti? Muhyiddin juga mengumumkan jawatan yang ingin beliau tandingi.

Sekurang-kurangnya Najib nampak terselamat dalam senarai mereka yang telah menawarkan diri untuk bertanding kali ini.

Maksud tersirat dan petunjuk Najib nampaknya sudah dilabuhkan. Selepas ini?

No comments

Powered by Blogger.