Kenyataan Rasmi berhubung isu Dato' Seri Anwar Ibrahim

KENYATAAN MEDIA

25 Jamadil Akhir 1429

30 Jun 2008

Kami, ahli-ahli Parlimen dari Parti Islam SeMalaysia, PAS merakamkan perasaan amat dukacita dan sedih berkaitan perbuatan konspirasi jahat terhadap peribadi Pimpinan Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan nama baik. maruah dan kredibiliti beliau.

Ternyata konspirasi jahat ini bertujuan untuk mengalih pandangan umum dan perhatian rakyat dari pelbagai macam krisis yang sedang melanda negara yang membebani rakyat dengan kos kenaikan saraan hidup akibat penarikan semula subsidi sebanyak RM13.7 bilion tentang bahan bakar; petrol dan diesel yang mencetuskan kesan berantai paling parah dalam krisis ekonomi negara.
Rakyat juga nampak jelas bagaimana kepimpinan kerajaan BN yang sedang dilanda pelbagai tekanan dalaman sesama sendiri mahupun akibat dari kegagalan kepimpinan mereka mengurustadbir negara ini dengan baik, mahu mengalih perhatian rakyat supaya menumpu kepada isu-isu sensasi seperti ini.
Tidak kurang juga tekanan yang terpaksa mereka depani terhadap isu pengambilalihan kerajaan Pusat olih Pakatan Rakyat yang semakin kencang bertiup dalam pelbagai media baru termasuk media perdana.
Kami, ahli-ahli Parlimen PAS dengan ini menolak sebarang tuduhan jahat yang sekaligus membawa erti tuduhan ”Qazaf” terhadap seorang peribadi Muslim yang diketahui umum sebagai seorang pemimpin di dalam negara ini, yang tertakluk kepada undang-undang jenayah Islam yang berat di segi hukuman seandainya tidak dibawa bersama bukti-bulti yang kukuh seperti yang dituntut Syari’at.
Kami juga sedar dan faham bahawa matlamat disebalik keberanian melakukan dosa seperti ini adalah juga bertujuan untuk menghakis kepercayaan dan wibawa kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Kami, ahli-ahli Parlimen PAS yakin bahawa rakyat tidak akan mudah dipengaruhi dengan mainan ’skrip lama’ dan akan menolak sebarang cubaan ini, meskipun dengan pelakon-pelakon baru dengan jalan-cerita yang dikitar-semula secara sensasi dan diperkukuh dengan kononnya bukti-bukti.
Justeru ketidakpercayaan rakyat terhadap pihak Polis Di Raja Malaysia, PDRM dalam mempertahankan hak dan keselamatan rakyat secara profesional seperti yang pernah menimpa peribadi Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka kami ahli-ahli Parlimen PAS, menuntut supaya sebuah Badan Bebas Siatan Awam ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap dakwaan jahat dan berat ini.
NASHARUDIN MAT ISA
Timbalan Presiden PAS / Ahli Parlimen Bachok

No comments

Powered by Blogger.