Tulisan pertama saya dalam alam siber - Mustafa Ali
Pelajaran dari kes Selangor dan Pulau Pinang
Untuk tulisan yang pertama ini, saya tertarik dengan apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang sekarang. Ia sebenarnya banyak mewarnakan politik Malaysia kini.
Dalam kes di Selangor, saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim atas sikap berani dan tegasnya. Kata orang tindakan beliau itu without fear or favour.
Ini merujuk kepada tindakan beliau menggantung Pegawai Khas beliau Yahaya Shaari selama dua bulan selepas Yahaya disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah atas tuduhan salah guna kuasa. Bagi saya ini tidakan berani dari Khalid dan dibuat tanpa takut akan implikasi politiknya.
Tindakan ini dibuat selari dengan amalan biasa dalam dunia korporat yang mana Khalid terdidik dengannya. Maknanya, style tindakan Khalid nampaknya seumpama tindakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam sebuah syarikat korporat berbanding dengan tindakan seorang Menteri Besar kepada sebuah kerajaan negeri yang mesti banyak membuat rujukan kepada pimpinan kerajaan negeri yang lain dan parti sebelum bertindak.
Namun begitu, bagi saya Khalid tidak wajar berbuat demikian. Sebagai MB, Khalid perlu bertindak sebagai seorang MB bukan seumpama seorang CEO. Sebagai MB, Khalid perlu merujuk kepada rakan-rakan dalam barisan Exconya serta juga rakan-rakan pimpinannya dalam PKR di samping parti-parti dalam Pakatan sebelum mengambil sebarang tindakan. Apatah lagi Yahaya adalah Setiausaha Perhubungan PKR Negeri. Dalam pilihan raya lalu pula Yahaya adalah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor.
Apabila Khalid bertindak seumpama seorang CEO, inilah hasilnya. Perkara yang sepatutnya kecil dan positif kini menjadi kecoh kerana implikasi politik dari tindakannya itu. Sebab itu, seorang pemimpin kanan dalam PKR, iaitu Dr Badrul Amin Baharun juga melahirkan kesal dengan tindakan Khalid, bukan setakat Yahaya sahaja. Badrul Amin tidak puashati dengan perlantikan ahli-ahli majlis kerajaan tempatan di Selangor.
Kes Pulau Pinang
Dalam kes Pulau Pinang pula, saya sependapat dengan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dalam kepentingan menjaga alam sekitar. Semua pihak, bukan Lim Guan Eng sahaja sensitif dengan tindakan kerajaan negeri Kedah untuk mengambil balak di dalam kawasan tadahan air di negeri itu.
Namun demikian, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng tidaklah boleh menyerang Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak begitu sahaja tanpa merujuk dan secara yang berlapik.
Apatah lagi alasan yang dibuat oleh Lim Guan Eng ketika menyerang Azizan adalah MB Kedah itu mengambil syarikat pembalakan dari Sarawak yang baik dengan kerajaan BN. Kalau begitu apa bezanya tindakan Lim Guan Eng di Pulau Pinang melantik seorang pemimpin Gerakan mengetuai sebuah syarikat GLC terpenting di Pulau Pinang. Ini bukan hubungan perniagaan lagi. Ini membawa masuk musuh ke dalam rumah tangga kita yang sudah pasti lagi bahaya dari setakat berhubungan perniagaan sebagaimana yang cuba dibuat oleh MB Kedah itu.
Saya bukanlah suka sangat hendak mengkritik begitu sahaja tetapi kalau masing-masing sudah membuka ruang dan menghentam satu sama lain secara terbuka atau dengan bahasa undang-undangnya ‘open the pandora box’, kita kena masuk jugalah.
Mustafa Ali
Politik Malaysia
No comments
Post a Comment