Boikot Pilihan Raya Kecil - Annuar Buka Pekong BN/UMNO
Dalam akhbar Sinar Harian hari ini ( 2 Ogos 2008) yang diedar di Pantai Timur, Annuar Musa menyarankan supaya BN memboikot pilhan raya kecil yang akan diadakan di Permatang Pauh untuk mengelakkan BN terperangkap dalam strategi Anwar Ibrahim.
Menurutnya, ada tiga sebab kenapa BN perlu berbuat demikian:
1. Untuk mengelak kerugian wang rakyat.2. Tidak perlu ikut strategi Anwar Ibrahim.
3. Pilihan raya kecil sepatutnya tidak perlu diadakan kerana
semuanya dalam keadaan baik.
Apa yang menarik pada saranan tersebut ialah bahawa boikot tersebut perlu dilakukan oleh BN/UMNO bertujuan untuk mengelakkan kerugian wang rakyat.
Soalnya, kenapa jika BN memulau pilihan raya kecil tersebut maka wang rakyat dapat diselamatkan. Apakah semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya di negara ini menggunakan wang kerajaan? Setahu saya PAS, PKR, DAP dan lain-lain parti menggunakan wang parti masing-masing bagi perbelanjaan pilihan raya termasuk perbelanjaan kempen dan sebagainya.
Dengan itu, tidak timbul penggunaan wang rakyat dalam pilihan raya oleh parti-parti politik yang bertanding termasuk parti dari BN. Pihak yang dibenar mengguna wang rakyat ialah SPR dan agensi-agensi kerajaan yang terbabit dalam mengendalikan pilihan raya, bukan parti politik.
Kenyataan Annuar Musa itu mencerminkan apa yang berlaku selama ini dalam BN dan secara tidak langsung mendedahkan penyalahgunaan wang rakyat dalam pilihan raya, terutama dalam pilihan raya kecil sebagaimana yang didakwa oleh pembangkang. Jika begitu, mungkin ramai yang menyokong Annuar Musa agar BN memboikot pilihan raya kecil di Permatang Pauh demi untuk mengelakkan pembaziran dan penyalahgunaan wang kerajaan dalam pilihan raya.
Sebaliknya berilah peluang kepada parti-parti lain yang tidak menggunakan wang kerajaan untuk menyertai pilihan raya. Atau lebih afdhalnya, berilah kemenangan percuma kepada PKR dari Pakatan Rakyat yang akan menghantar DSAi ke parlimen dalam tempoh terdekat ini.
Selanjutnya Annuar Musa beralasan bahawa pemboikotan pilihan raya tersebut adalah perlu bagi mengelakkan BN terperangkap dalam strategi DSAI yang kononnya untuk mengalih pandangan umum daripada kes liwat yang sedang dihadapinya. Ini menunjukkan kegagalan beliau menghidu perkembangan politik PR setelah formula merampas Kelantan yang diketuainya itu digagalkan oleh PAS di bawah pimpinan TGHNA dengan pukulan KO.
Apakah Annuar sedar bahawa rancangan memberi laluan kepada DSAI untuk ke parlimen bukan hanya baru dibuat selepas beliau dilaporkan meliwat pembantunya, tetapi lebih awal dari itu, cuma tempatnya sahaja yang belum ditentukan. Rancangan ini semua orang tahu, tapi malangnya Annuar agak ketinggalan sekarang kerana belum pulih sepenuhnya dari trauma pilihanraya.
Annuar kena faham, jika pilihan raya kecil Permatang Pauh merupakan agenda DSAI kononnya untuk menutup kes liwatnya, maka kes liwat itu sendiri agenda siapa?
Sebagai orang politik besar, takkan beliau tak faham sedang Pak Mat, Pak Soh dan Pak Teh yang bersidang atas beca roda tiga milik mereka di bawah pokok celagi depan Istana Kota Lama, Kota Bharu dapat menghidu siapa yang punya angkara terhadap drama liwat kedua DSAI. Apakah pemikiran Annuar Musa sekarang lebih teruk dari orang kampung?
No comments
Post a Comment