BPR boleh siasat UMNO

SERDANG 12 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibenarkan untuk menyiasat kes-kes tertentu membabitkan politik wang pada pemilihan UMNO sekarang.

Bagaimanapun, Presiden UMNO berkata, ia hanya membabitkan kes yang memerlukan campur tangan badan itu dan bukan kesemua aduan membabitkan politik wang.

‘‘Ibu pejabat UMNO sudah membuat ketentuan untuk membenarkan BPR masuk dan ini bergantung kepada kes tertentu yang boleh menyebabkan badan ini bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2008 di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas laporan akhbar hari ini bahawa seorang ketua UMNO bahagian bergelar datuk dan setiausaha bahagian itu di Sabah disoal siasat BPR berhubung dakwaan menyogok beberapa pemimpin cawangan sebanyak RM1,500 seorang bagi mendapatkan pencalonan menjelang pemilihan bahagian itu.

Pada 2 Ogos lalu, BPR juga telah menahan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang kerana disyaki memberi sogokan wang RM500 kepada seorang ahli parti untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Mesyuarat Agung cawangan akan berlangsung sehingga 24 Ogos, manakala peringkat bahagian bermula 9 Oktober hingga 9 November sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada 16 hingga 20 Disember ini.

Abdullah berkata, beliau tidak dimaklumkan siapa yang terlibat dalam kes sogokan terbaru di Sabah tetapi yakin tentu ada aspek tertentu yang melibatkan BPR sehingga membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau yang mengakui berlaku gejala politik wang pada pemilihan parti kali ini, berharap mereka yang terlibat dengan kegiatan itu supaya menghentikannya.

‘‘Saya pun ada dengar juga, banyak cerita berkaitan dengan perkara ini. Tentu ada betulnya, kalau tidak, takkan cerita begitu meluas.

‘‘Tak ada ertinya mencari populariti dengan menggunakan politik wang. Tidak tulen jika seseorang itu mendapat sokongan dan kemenangan menggunakan cara ini. Ia hanya akan menyebabkan orang kaya sahaja boleh memegang jawatan. Orang yang tak ada wang banyak tak boleh,” ujarnya.

Menurut beliau, gejala politik wang itu tidak selaras dengan matlamat parti untuk memastikan pemimpin yang mendapat sokongan adalah terdiri daripada mereka yang berkemampuan, berjasa menolong rakyat dan terbukti membantu perjuangan parti.utusan

No comments

Powered by Blogger.