Pelabur asing usahpercaya dakwaan Anwar

SINGAPURA, 12 Ogos - Ahli perniagaan asing yang bercadang melabur di Malaysia dinasihati supaya tidak mempercayai dakwaan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau akan mengambil alih teraju pentadbiran Malaysia September ini.

"Usah percaya," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ahli perniagaan Singapura yang menghadiri dialog perdagangan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau tidak nampak kemungkinan perkara itu berlaku, lebih-lebih lagi memandangkan Anwar sering mengubah tarikh beliau akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional (BN), daripada Ogos kepada September, kemudian kepada Oktober dan seterusnya.

Kata beliau, persoalan paling besar ialah bagaimana Anwar akan menjadi Perdana Menteri sedangkan tidak seorang pun ahli Parlimen BN, yang didakwanya akan menyertai beliau sejak pilihan raya umum 8 Mac lepas, berbuat demikian.

Dialog itu diadakan sempena seminar sehari tentang peluang perniagaan di Malaysia anjuran bersama agensi perdagangan Malaysia dan Singapura, dan dirasmikan Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, keadaan politik di Malaysia sekarang adalah semata-mata hasil ciptaan Anwar, yang tidak sudah-sudah membuat cerita kononnya beliau akan mengambil alih kerajaan September ini.

Muhyiddin, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata pengundi di Malaysia telah membuat pilihan mereka pada pilihan raya umum lepas dengan mengundi BN bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, walaupun BN tidak memenangi majoriti besar bagi kerusi Parlimen seperti pilihan raya sebelum ini, namun 'kemenangan tetap satu kemenangan'.

Beliau berkata, banyak pelabur bimbang dengan keadaan politik yang melanda Malaysia sekarang kerana mereka tidak pasti tentang iklim pelaburan pada bulan-bulan akan datang.

Katanya, pelabur tertanya-tanya sama ada Malaysia masih stabil atau aman seperti sebelum ini atau adakah rakyat akan merusuh di jalan raya dan menimbulkan pelbagai masalah yang merugikan mereka yang melabur di Malaysia.

"Memanglah ini satu persoalan besar. Kami pun bimbang seperti anda juga, dalam menangani keadaan seperti ini.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini ialah terus memberi jaminan, dan bagi Malaysia, kami juga menyintai keamanan, sama seperti rakyat Singapura, kami cintakan kemakmuran dan kami sayangkan perpaduan yang telah kami kecapi sejak beberapa dekad lepas.

"Rakyat Malaysia amat mementingkan keamanan kerana ia menjadi tanda aras yang kukuh bagi negara ini," kata beliau sambil menambah bahawa Malaysia juga amat mementingkan kestabilan dalam usaha menarik pelaburan.

Muhyiddin berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi sejak sekian lama dan sistem ini berjalan dengan baik, manakala BN pula menerima keputusan rakyat.

"Anwar Ibrahim perlu menghormati keputusan ini. Jika beliau teringin menjadi Perdana Menteri, beliau perlu tunggu empat tahun lagi, bertanding pada pilihan raya, menang dengan majoriti dan tubuhlah kerajaan, kalau itu berlaku," kata beliau.

Beliau berkata, rakyat Malaysia ingin mengekalkan kestabilan yang mereka nikmati sekarang.

Muhyiddin memberi jaminan kepada pelabur yang bercadang melabur di Malaysia dan mereka yang sudah melabur di negara berkenaan bahawa walaupun wujud beberapa perubahan dalam senario politik tempatan dan beberapa kerajaan negeri tidak lagi berada di bawah pentadbiran BN, namun perkara itu tidak menjadi masalah kerana dasar pelaburan sedia ada terus diguna pakai di seluruh negara.

Beliau berkata, negeri yang ditadbir oleh pembangkang juga mahukan pelaburan dan mereka akan memastikan setiap pelaburan baru dan yang sudah dibuat di negeri berkenaan sejak beberapa dekad lepas, akan dijaga dan dilindungi dengan sewajarnya.

- Bernama

sapa yang jadi PM ni???anwar ke pak lah??aiyoooo tambi

No comments

Powered by Blogger.