Lapor apa yang benar, jangan ada - adakan yang tidak benar - arahan Menteri Penerangan kepada media

Media disaran tidak keterlaluan buat laporan - Shabery

Pengamal media dinasihati supaya berhati-hati dalam laporan mereka dengan tidak mencampur aduk laporan pilihan raya kecil kawasan Permatang Pauh dengan proses pertuduhan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakayat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia adalah dua perkara yang berbeza, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang berharap media arus perdana dan pengamal media baru tidak melampaui batas laporan yang sepatutnya.

Anwar yang sedang menghadapi pertuduhan liwat akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang ditetapkan 26 Ogos ini, setelah penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga suami beliau untuk bertanding di situ.

"Dalam masa yang sama kita melihat dua pertarungan saluran berlaku, satu saluran politik pilihan raya dan satu lagi saluran undang-undang yang berlaku di mahkamah," kata Ahmad Shabery kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri di sini, hari ini.

Namun biarlah kes pertuduhan liwat itu diadili oleh mahkamah sementara pilihan raya kecil diadili oleh rakyat dengan menerima sebarang keputusannya kelak, katanya.

Sehubungan itu, pengamal media diminta tidak keterlaluan semasa membuat laporan pilihan raya kecil Permatang Pauh serta proses perbicaraan tuduhan liwat terhadap Anwar, katanya.

Mengenai ketelusan liputan Radio Televisyen Malaysia (RTM) semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad Shabery berkata RTM akan memastikan apa yang dilaporkan mempunyai nilai berita kepada masyarakat.

"Saya akan serahkan kepada RTM sebab prinsip saya, yang penting nilai berita (iaitu) melaporkan apa yang patut dilaporkan.

"Bagi media lain juga, saya nasihatkan supaya melaporkan apa yang benar dan yang tidak benar, jangan diada-adakan, yang kecil jangan dibesar-besarkan," katanya.

Pada majlis perhimpunan tersebut, Ahmad Shabery turut melancarkan blog rasmi Kementerian Penerangan menerusi http://myblog.gov.my sebagai saluran maklumat dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Ahmad Shabery berkata: "Kita mesti bersedia untuk menjadi pendengar kepada pandangan rakyat mengenai isu-isu yang bersifat semasa. Kita harap dapat mencari sesuatu yang lebih baik ke arah memberikan perkhidmatan kepada rakyat."

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata program berita bersama antara Malaysia dan Indonesia menerusi kerjasama RTM dan Televisyen Radio Indonesia yang dikenali sebagai 'Warta Serumpun' akan disiarkan secara langsung pada 17 Ogos ini.

Katanya, rancangan selama tiga puluh minit itu akan disiarkan pada 12 tengah malam waktu Malaysia dan 11 malam waktu Indonesia yang akan menyiarkan berita termasuk isu berkaitan kebudayaan kedua-dua negara.

Untuk permulaan, siaran itu akan disiarkan setiap Ahad, katanya. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.