Ramai orang puji Hakim S.M.Komathy Suppiah

Prosiding lancar, mahkamah lebih mesra media

KUALA LUMPUR: Prosiding kes pertuduhan meliwat terhadap penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen hari ini berjalan lancar dengan semua pihak memberikan kerjasama kepada mahkamah.

Media tempatan dan juga asing telah mula berkumpul di luar bilik mahkamah seawal 6.30 pagi walaupun mereka hanya dibenarkan masuk ke dalam Mahkamah Sesyen Satu pada pukul 9 pagi.

Hanya seorang wartawan bagi setiap media dibenarkan membuat liputan dan mereka perlu mendaftar nama.

Wakil media lain dibenarkan mengisi tempat duduk yang masih kosong atau duduk di lantai berdekatan tempat duduk galeri awam bagi membolehkan mereka membuat liputan.

Wartawan juga dibenarkan membawa masuk telefon bimbit walaupun sebelum ini mahkamah tidak membenarkannya jika melibatkan kes besar.

Situasi di mahkamah hari ini lebih mesra media berbanding kes-kes besar sebelum ini, terutama sekali pada 29 Sept 1998, apabila Anwar pertama kali dituduh kerana rasuah dan liwat.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujah masing-masing secara profesional tanpa ada sebarang pertikaman lidah seperti yang biasa berlaku dalam kes berprofil tinggi.

Suasana dalam mahkamah juga kurang tekanan hasil daripada kebijaksanaan Hakim S.M.Komathy Suppiah mengendalikan prosiding.

Prosiding hari ini bermula pada 10.11 pagi dengan pertuduhan dibaca empat minit kemudian, dan berakhir pada 10.35 pagi. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.