Minyak dijangka turun Harapan kerajaan turunkan harga adalah baik – Perdana Menteri
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kerajaan berharap trend penurunan harga minyak dunia berterusan supaya harga bahan api itu di pasaran tempatan dapat dikurangkan pada kadar yang lebih rendah berbanding sekarang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pada ketika ini trend tersebut memberi satu harapan baru kepada kerajaan untuk menurunkan harga minyak sekali gus mengurangkan bebanan hidup rakyat.
Katanya, rakyat juga tidak perlu khuatir mengenai pemberian subsidi 30 sen seperti dinikmati sekarang kerana kerajaan akan tetap mengekalkannya walaupun harga minyak dikurangkan pada masa depan.
‘‘Nampaknya pada waktu ini jika dilihat harga minyak dunia, Alhamdulillah bertambah kurang. Oleh itu, harapan untuk kita kurangkan harga minyak adalah baik.
‘‘Lagi banyak ia (harga) turun, lagi baik untuk kita dan harap-harap (trend ini) tidak berundur (harga tidak naik). Jika ini yang berlaku susahlah kita,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kesediaan kerajaan untuk menurunkan harga minyak di pasaran tempatan berikutan penurunan harga minyak dunia ketika ini.
Harga minyak dunia yang dicatatkan hari ini adalah AS$116.50 (RM384.45). Penurunan tersebut amat ketara jika dibandingkan dengan harga pada awal Julai lalu iaitu AS$148 (RM482).
Pada Jun lalu, kerajaan telah menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ekoran peningkatan harga minyak dunia.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus serta 63 peratus berbanding harga sebelumnya.
Perdana Menteri berkata, sebarang usaha untuk menetapkan harga minyak jika berlaku penurunan adalah mengikut harga purata bulanan bahan api tersebut berasaskan pada bulan sebelumnya.
‘‘Sebagai contoh harga minyak untuk September, kita akan lihat purata harganya sepanjang Ogos dan inilah formula yang telah kita putuskan sebelum ini dan ia berkuat kuasa mulai 1 September depan,’’ jelasnya.
Sehubungan ini, kata Abdullah, kerajaan tidak dapat menentukan kadar harga minyak yang akan ditetapkan pada September ini jika berlaku penurunan kerana perlu melihat harganya secara purata pada bulan Ogos.
Beliau berkata, dalam apa jua keadaan, segala pertimbangan untuk kerajaan menurunkan harga minyak tetap bergantung kepada trend yang berlaku sekarang.
‘‘Kita bergantung kepada harga minyak dan diharap ia akan turun lagi pada tahap yang lebih rendah. Fakta-fakta ini yang sedang kita beri perhatian.
‘‘Insya-Allah saya berharap kerajaan akan ada kebolehan untuk mengurangkan harganya,’’ katanya lagi.
Ditanya sama ada ia merupakan satu jaminan daripada kerajaan, Abdullah berkata, ia adalah satu jangkaan.
‘‘Insya-Allah kita berharap ia akan berlaku,’’ ujarnya.
No comments
Post a Comment