Najib: Arif Shah ada kelebihan untuk menang

Najib: Arif Shah ada kelebihan untuk menang

14-08-2008 08:49:59 PM

SERDANG: Pemilihan Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh adalah berdasarkan prestasi cemerlangnya sebelum ini dan dilihat mempunyai kelebihan untuk menang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini kerana Arif Shah merupakan wakil tunggal BN di kerusi Parlimen berkenaan menerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, justeru tentu ada faktor yang konkrit mengapa para pengundi kawasan berkenaan percaya pada beliau, di sebalik keampuhan pihak pembangkang di kawasan itu.

“Beliau seorang yang telah menang dalam pilihan raya (umum) yang lalu (di kawasan Parlimen Permatang Pauh”, walaupun (kerusi) Parlimen kalah, dan dua DUN lain kalah tapi beliau boleh menang.

“Bila beliau boleh menang, jadi maknanya ada sesuatu kelebihan yang ada pada dia. Ini bukan saya nak menidakkan (calon) yang lain tapi dalam keadaan situasi hari ini, kita kena tengok (utamakan) sokongan pengundi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 200 8) di Tapak Eskpo Pertanian Malaysia (MAEPs) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai faktor pemilihan Arif Shah sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini dan pengundian pada 26 Ogos.

“Jadi bila kita nak menang pilihan raya, kita kena ambil kira pengundi…Datuk Arif ada asasnya iaitu pengundi yang telah mengundi beliau di kawasan Seberang Jaya dan barangkali beliau boleh mendapat sokongan daripada kawasan yang lain,” kata Najib yang juga Timbalan Presiden Umno.

Beliau berkata kefasihan Arif Shah bertutur dalam dialek Mandarin dan Hokkien turut memberi kelebihan sebagai pemangkin dalam menambat hati masyarakat keturunan Tionghua di Permatang Pauh.

Mengenai peluang BN untuk menang dalam pilihan raya kecil itu, beliau berkata cabaran yang menanti adalah amat getir dan sukar.

“Kita tak nak cakap kita yakin boleh menang atau tak boleh menang. Kita tahu kita menghadapi cabaran yang amat getir dan laluan yang sukar tapi kita akan beri cabaran yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembangunan Sukan negara mengharapkan bintang badminton negara, Lee Chong Wei mampu merangkul pingat emas dan mencatat sejarah dalam Sukan Olimpik yang sedang berlangsung.

Chong Wei mara ke separuh akhir perseorangan badminton lelaki apabila menewaskan pemain Indonesia Sony Dwi Kuncoro 219, 2111 hari ini.
“Saya mengharapkan beliau (Chong Wei) akan meraih pingat emas dan mencatat sejarah,” katanya.

Beliau juga berkata ganjaran istimewa yang menanti setiap penyumbang pingat emas untuk negara pada temasya sukan berprestij itu bukan untuk mengaburi mata mereka, tetapi sebagai penghargaan atas setiap pengorbanan dan perjuangan yang dirintis untuk menempa kejayaan itu.

Mengenai MAHA 2008, Najib berkata pameran itu memberikan pengertian sebenar mengenai dunia pertanian moden yang mampu menghasilkan keuntungan lumayan jika dilaksanakan dengan cara yang ekonomik.

Katanya, orang ramai perlu menghayati dan memahami pertanian sebagai satu bidang yang menjanjikan masa depan amat cerah, apatah lagi MAHA 2008 menyediakan kemudahan infratruktur yang lebih baik dalam aspek produk, proses dan teknologi pertanian.

“Ia lebih hebat berbanding MAHA sebelum ini, bukan sahaja dari segi saiz, tapi semua aspek, khususnya pengisiannya dari segi teknologi, yang disebutsebut sebagai pertanian moden,” katanya.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed. BERNAMA

1 comment

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Powered by Blogger.