Najib akui sukar gugat Anwar di Permatang Pauh


PERMATANG PAUH, 14 Ogos (Hrkh) - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengakui bukan mudah untuk BN menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh (P44) pada 26 Ogos ini.
Iklan




BN sambungnya, mesti ada jentera yang mencukupi daripada semua komponennya baru keputusan boleh menyebelahi kerajaan kerana kawasan tersebut adalah kubu kuat pembangkang sejak 1999.

"Kita jangan ambil mudah untuk menang besar di sini tanpa usaha yang kuat dan bersungguh. Kerja kita hendaklah bersepadu dengan melupai sementara sengketa dalaman yang tidak menguntungkan parti, " ujarnya ketika melancarkan jentera BN bagi Permatang Pauh di Sunway Carnival Mall semalam.

Namun beliau yakin calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah merupakan calon yang disegani dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Permatang Pauh berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang terlalu banyak masa di Kuala Lumpur bila menang kelak.

Jelasnya lagi, tidak mungkin jika Dato' Seri Anwar menang dalam pilihan raya kecil itu beliau boleh jadi Perdana Menteri kerana ramai anggota BN telah bertekad tidak melompat parti sebagaimana yang dirancangkan olehnya.

BN kata Najib, tidak memperjudikan kes liwat dalam kempen kali ini memandangkan bukan BN yang reka isu tersebut atau memainkan isu perkauman sepertimana KeADILan dan rakanya dalam Pakatan Rakyat.

"Tak mungkin ada katak yang akan lompat bersama mereka. Jika satu dua barangkali tapi jika angka 30...no way, " terangnya di hadapan dua ribu penyokong BN.

Pilihan raya ini tambah beliau, bukan isu peribadi tapi merupakan hala tuju negara ini jika tersalah memilih bermakna rakyat menempa kerugian untuk selamanya. Sepanjang tempuh sembilan tahun berada di bawah pembangkang langsung tiada kemajuan yang diterokai bahkan rakyat hanya di buai dengan simpati semata-mata.

Sementara itu calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah ketika berucap menegaskan, jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh beliau berjanji akan melakukan lonjakan pembangunan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Tapi, bagaimanapun masih mengakui ia bukan jalan mudah mencapai impian itu melainkan wujud gerakan bersepadu serta kemahuan rakyat untuk berubah.

Hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penerangan Umno Malaysia, Muhammad Taib; Setiausaha BN, Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon; Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Dato' Abdul Rashid Abdullah dan ramai lagi. - mks._

No comments

Powered by Blogger.