Nik Aziz: Orang dalam Pakatan sendiri mahu gagalkan Anwar

Beri peluang kepada Anwar untuk masuk jadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Beri peluang kepada Anwar untuk masuk jadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nik Aziz: Orang dalam Pakatan sendiri mahu gagalkan Anwar

08-08-2008 07:11:54 PM

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan berlakunya hasad dengki dalam Pakatan Rakyat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya kecil Parlimen kawasan Permatang Pauh, 26 Ogos ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, terdapat pihak cuba sabotaj bagi memastikan Anwar tidak berjaya menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Saya dapati memang ada orang yang dengki kepada Anwar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MATA fair peringkat Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Anwar untuk bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh namun beliau semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suami beliau untuk bertanding.

Nik Abdul Aziz juga menasihatkan pihak yang menyimpan perasaan dengki itu agar melupakan hasrat mereka demi kebaikan Pakatan Rakyat.

“Beri peluang kepada Anwar untuk masuk jadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun wujud jurang perbezaan dalam ideologi politik dengan PKR, PAS harus akur untuk menyokong PKR dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh itu.

Katanya, beliau mengakui perbezaan pandangan dari segi politik antara PKR dan PAS, namun di bawah semangat Pakatan Rakyat, parti itu harus bekerjasama.

“PAS perlu memberi sokongan kepada Anwar walaupun dari segi politik tidak serupa,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata beliau menyokong Anwar kerana mendapati pensihat PKR itu merupakan pemimpin Melayu yang berpengalaman dalam pentadbiran negara dan dikenali di peringkat antarabangsa. BERNAMA

http://www.mstar.com.my

No comments

Powered by Blogger.