Temui pemimpin Umno bukan di atas kepentingan peribadi - Nasharuddin
Nasharuddin: Ahli PAS langgar disiplin jika bantah muzakarah
14-08-2008 12:05:40 AM
IPOH: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) mengingatkan anggota parti yang tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Syura pimpinan tertinggi parti itu berhubung isu muzakarah dengan Umno adalah melanggar disiplin parti.
Jelasnya, kepimpinan parti sedar ramai di kalangan anggota yang tidak bersetuju dengan tindakan PAS mengadakan muzakarah dengan musuh tradisi parti itu Umno, sejurus selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Menurut beliau, isu muzakarah perlu dijelaskan oleh pemimpin tertinggi parti bagi memastikan anggota memahami sepenuhnya isu ini dan tidak lagi tertanyatanya kenapa Pas mengadakan pertemuan dengan Umno.
“Peraturan kita didasari al-Quran dan as-Sunnah, jangan ada di antara kita yang kata Quran itu lain dan politik lain.
“Ahli-ahli kena bertenang dan menerima apa yang berlaku ini dengan patuh. Tidak sedarkah bahawa kita melanggar disiplin parti dengan tidak bersetuju dengan keputusan itu,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas ke49 di Stadium Indera Mulia di sini malam ini.
Nasharuddin berkata, dasar perjuangan PAS yang berpaksikan Islam menuntut dakwah diterapkan kepada semua yang masih belum memahami apa itu Islam yang sebenar.
“Kalau kita boleh bersekutu dengan DAP yang menentang Islam dari dulu sampai sekarang dan dengan PKR, mengapa kita tidak boleh dekati Umno. Pimpinan kita mengadakan perjumpaan dengan Umno atas keputusan Syura Ulama, tak ada yang pergi ambil kesempatan untuk kembungkan poket atau runding kerusi dan jawatan.
“Kita pergi jumpa Umno untuk bagi tahu mereka syiar Islam sebenar… Islam pun ajar kita supaya berunding, dalam perangpun kalau musuh nak berunding, kita dibenar berunding,” katanya. BERNAMA
No comments
Post a Comment