Husam persoal tajaan Alwi ke Makkah

KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri , Datuk Husam Musa mendesak agar Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Md Alwi Che Ahmad menjelaskan pemergian ke Makkah untuk menunaikan haji yang dikatakan ditaja oleh Tabung Haji.

Reaksi tersebut diluahkan Husam setelah Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas mempersoalkan salah guna kuasa dalam pembelian kek untuk Hari Raya Aidilfitri diberikan kepada Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Saya nak tanya Alwi yang membangkit isu ini (kek), walaupun nilai kecil tetapi ia amalan lazim korporat. Saya difahamkan beliau ke Makkah sekali dengan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Badawi) bersama 20 orang VVIP dan tambang itu disediakan oleh Tabung Haji.

“Saya minta penjelasan dia, kalu dia dok sibuk kes PMBK, pemergian haji dia perlu dijelaskan kepada masyarakat, kenapa Tabung Haji biayai pemergiannya ke Makkah?” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Semalam Alwi berkata, beliau mempunyai bukti resit pembelian kek seberat 10 kilogram setiap enam biji kek bernilai RM516 sebiji yang diberikan kepada enam pihak termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Abdul Arif Fahmi Abdul Rahman.

Sehubungan dengan itu, Md Alwi meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu kerana badan tersebut turut menjalankan siasatan terhadap penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK.

No comments

Powered by Blogger.