‘Manusia Memang Patut Panggil Tuhan Dengan panggilan Allah - MAZA

Bekas mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin berpendapat pihak berkuasa perlu menyediakan garis panduan tentang penggunaan kalimah “Allah” ekoran bantahan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Herald menggunakan perkataan tersebut dalam terbitannya.Dalam kenyataan pertamanya sejak Khamis lalu, Asri juga berhujah bahawa manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah.

“Ya, manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Itulah Tuhan yang sebenar.

“Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW pun, nama Allah telah digunakan untuk memanggil Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun jelas beliau penggunaan kalimah “Allah” untuk tujuan menghina tidak wajar dibenarkan.

“Namun meletakkan nama tersebut dengan tujuan menghina adalah patut ditentang. Ini seperti jika menulis nama Allah pada berhala,” kata beliau dalam tulisan blognya di bawah tajuk “Isu Nama Allah: Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri”.

Beliau menjelaskan, “jika mereka berkata Allah Tuhan semesta alam, itu tidak menjadi masalah kerana itu kenyataan yang benar.

“Kuffar Quraish pun memanggil Tuhan Allah, tetapi tidak menamakan berhala mereka Allah,” ujar beliau.

Oleh itu kata beliau, jika keputusan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah itu hendak dipakai, garis panduan dan peraturan hendaklah dibuat.

“Maka peraturan mesti dibuat. Elakkan perbalahan kaum tanpa melihat kepada penyelesaian terlebih dahulu. Saya akan mencadangkan beberapa garis panduan selepas ini,” jelas Asri.

Dalam artikel disiarkan sebelum ini, Asri pernah berkata bukan soal nama “Allah” itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar.

“Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman,” katanya.

Khamis lalu Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Herald boleh menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitannya.

Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.

Beliau berkata lanjutan kepada Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan “Allah” kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, kata Lau. -MI

1 comment

Arif Omar said...

Daripada segi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi negara ini di dalam peruntukan Perkara 3(1). Perkara itu turut menjamin kedudukan agama lain dengan formula "aman dan damai"."Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".

Formula "aman dan damai" ini belum pernah ditafsir oleh mahkamah.Namun, daripada segi amalan, agama selain Islam tidak boleh diamalkan sekiranya ia mengganggu dan menggugat keadaan "aman dan damai" masyarakat negara ini.Bahagian kedua Perkara 3(1) ini juga memberi pengertian bahawa, keharmonian dan toleransi antara agama perlu dititikberatkan supaya tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Oleh itu, penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic boleh ditafsirkan sebagai menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Ia juga boleh mencemar formula "aman dan damai" yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.Merujuk kepada isu penggunaan perkataan 'Allah', kita perlu melihat aspek baik dan buruk hubungan antara penganut agama dalam formula 'aman dan damai' itu.Undang-undang, pada banyak ketika, tidak dapat menjadi penyelesaian kepada semua masalah terutama yang melibatkan emosi atau sensitiviti.

Contoh yang mudah, adakah kebenaran mahkamah untuk membenarkan suami berkahwin dengan isteri kedua dapat mengubat atau menjadi penawar kepada emosi isteri pertama yang amat terluka dengan tindakan suaminya? Paling baik pun, setelah terpaksa menerima keputusan mahkamah tersebut, isteri pertama harus meneruskan hidup bermadu dengan tangisan di dalam hatinya.

Ini dikatakan formula 'rela dalam paksa.' Formula 'rela dalam paksa' ini sudah pasti tidak akan menjamin kebahagiaan akan kekal lama.Begitulah juga gambaran yang dapat dibuat mengenai kesan daripada penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic.Selain Perlembagaan, undang-undang mengenai pengharaman penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam telah lama wujud di dalam undang-undang di negeri-negeri.

Ia termaktub dalam peruntukan undang-undang berkaitan kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang selari dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.Undang-undang ini adalah sebahagian daripada segmen perjanjian sosial antara kaum dan agama sewaktu proses mencapai kemerdekaan. Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang tersebut masih belum begitu terserlah.

Powered by Blogger.