Barry Wain Akan Berada Di Kelantan!

Barry Wain setuju kupas buku tentang Dr M di seminar anjuran PAS

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Feb 3 – Barry Wain yang menulis buku “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad In Turbulent Times”, yang mendakwa bekas perdana menteri itu telah membazirkan kira-kira RM100 bilion sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun, telah bersetuju untuk mengupas karyanya pada satu seminar di sini pertengahan bulan ini.

“Kita akan umum dan sahkan tarikhnya selepas ini. Dalam masa yang terdekat ini. Setakat ini, tarikh yang belum muktamad ialah 20 Febuari,” kata pengarah program tersebut, Abdul Latif Abdul Rahman.

Ia akan berlangsung di Dewan Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini.

Seminar anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan itu bakal mengetengahkan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifudin Nasution Ismail dan Setiausaha Barisan Nasional Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad.

Bagaimanapun mesyuarat bulanan Pemuda PAS hari ini turut mencadangkan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad juga diundang pada seminar tersebut.

Tokoh-tokoh tersebut akan mengupas instisari yang didedahkan oleh Wain melalui bukunya tersebut.

Kementerian Dalam Negeri belum meluluskan buku itu untuk edaran di negara ini.

Abdul Latif yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan berkata tujuan seminar tersebut adalah memberi pendedahan secara berterusan tentang keburukan dan akibat penyelewengan dalam salah urus pentadbiran.

“Selain itu ia juga bagi mendapat maklumat sebenar tentang isu-isu yang diketengahkan Wain secara khusus,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 petang ini.

Buku Wain itu dengan pendedahan tentang kepincangan pentadbiran dan pengurusan kewangan negara di bawah pentadbiran Dr Mahathir telah menggegarkan dunia politik tanah air bahkan antarabangsa.

Pertengahan bulan lalu, Husam yang juga Exco kerajaan negeri memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya mahu rakyat mengetahui perkara di sebalik penyelewengan melibatkan angka berbilion ringgit sebagaimana didakwa Wain.

Justeru Husam bertegas pilihan terbaik adalah melalui seminar.

Bagi menyempurnakan tugasan ini, Pemuda PAS Kelantan diberikan tanggungjawab tersebut.

Difahamkan PAS Kelantan mengambil langkah ini ekoran tindakan berturut-turut Umno khususnya Pergerakan Pemudanya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut Abdul Latif, amatlah baik buku kontroversi ini dikupas dan diulas bagi memberi pendedahan sebenar kepada pemimpin dan masyarakat.

berpuas hati dengan artikel ini? bantu saya dengan hanya klik di sini

No comments

Powered by Blogger.