Bertakbir minta simpati

Oleh Azlan Hafeedz

KOTA BHARU: Seorang penyangak sempat ‘bertakbir’ ketika dibelasah teruk orang ramai yang menangkapnya selepas cuba mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 di Jalan Kebun Sultan, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang berhampiran sebuah kedai cermin mata itu, lelaki berusia lingkungan 40-an berkenaan berjaya dicekup pemilik motosikal terbabit sebelum berlaku pergelutan antara mereka berdua selama lima minit.


Suspek berjaya ditahan, manakala seorang rakannya yang turut bersekongkol melakukan perbuatan itu sempat melarikan diri. Difahamkan, ketika dipukul, suspek langsung tidak menunjukkan rasa sakit, malah masih sempat mengungkapkan kalimah ‘Allahuakbar’ berulang kali untuk menyelamatkan diri daripada dibelasah. Sebelum kejadian, dua suspek terbabit dikatakan dilihat berlegar-legar selama setengah jam di kaki lima premis kedai cermin mata itu hingga menimbulkan curiga di kalangan kakitangan kedai cermin mata termasuk pemilik motosikal terbabit.

Pemilik motosikal yang hanya mahu dikenali Zaidi, 31, berkata, tindakan suspek yang memakai topi keledar itu menimbulkan syak kepada dirinya. Keadaan mencurigakan turut menyebabkan kakitangan di kedai cermin mata nekad memerhatikan pergerakan penjenayah terbabit dari dalam kedai selepas merasakan sesuatu perkara akan berlaku. Namun katanya, tanpa menyedari gerak-gerinya sedang diperhatikan, seorang daripada suspek terus menghampiri ‘sasarannya’ itu beberapa minit kemudian. “Penjenayah terbabit sengaja meletakkan motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dinaiki mereka berdua itu dan kedudukannya betul-betul bersebelahan dengan motosikal saya ketika itu. “Suspek memang hebat apabila berjaya membuka kunci motosikal saya dalam tempoh 30 saat saja menyebabkan saya bersama tiga lagi rakan sepejabat terus berlari keluar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Zaidi berkata, ketika suspek sedang berusaha mengundurkan motosikal daripada petak meletak kenderaan, dia terus menendangnya dari arah belakang menyebabkan penjenayah terbabit tersembam di atas jalan sebelum dikepung tiga rakannya itu. Katanya, sebaik melihat suspek sudah dikepung, rakannya yang menunggu di kaki lima itu terus cabut lari kerana bimbang ditangkap. “Pada masa sama, suspek pula cuba bangun untuk melarikan diri, namun gagal apabila dia terus dibelasah orang ramai yang secara tiba-tiba datang mengerumuninya ketika itu. “Ketika itulah, suspek terus melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ bagi meraih simpati, namun, langsung tidak diendahkan oleh orang ramai yang terus membelasahnya, gara-gara terlalu geram akibat perbuatan jahatnya itu,” katanya. Dalam pergelutan itu juga, Zaidi turut cedera ringan di lengan kanan akibat terkena besi motosikal sebelum dia dan pegawai pemasaran kedai cermin mata, Roshairi Razali, membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Bharu. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit dan siasatan kini sedang giat dijalankan berhubung kejadian berkenaan.

*terima kasih atas kunjungan.bantu lah saya dengan hanya klik di sini. setiap klik membantu blog ini berkembang.

No comments

Powered by Blogger.