Dataran Berahi Di Melaka. Mana Pejabat Agama?
MELAKA: Adegan 'pelukan ghairah' pasangan muda di sebuah pusat beli-belah terkenal di bandar raya di sini, semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Lokasi yang dikenali sebagai 'dataran romantik' semakin hangat dengan adegan itu selepas waktu Maghrib.
Kegiatan tidak bermoral dan memalukan itu didedahkan unit keselamatan pusat-belah berkenaan kepada Berita Harian baru-baru ini, selepas mereka sendiri tidak tahan dengan kerenah pihak terbabit. Berdasarkan tinjauan, perbuatan berkenaan biasanya membabitkan pasangan berusia antara 19 tahun dan 28 tahun.
Seorang daripada pengawal terbabit ketika ditemui mendakwa, kegiatan pasangan kemaruk seks itu boleh dilihat hampir setiap hari. Kebanyakannya datang dengan berjalan kaki sama ada dari sebelah lagi pusat beli-belah atau dari tingkat bawah premis berkenaan.
"Ada juga pasangan ini datang dengan menaiki kereta mewah seperti Mercedes Benz sebelum berpura-pura menjadi pelancong dengan melakukan aktiviti ringan, termasuk mengambil gambar pasangan masing-masing.
"Mereka akan mencari lokasi paling sesuai termasuk tersembunyi sebelum duduk berdua-duaan dan perlahan-lahan memulakan `adegan ringan', diikuti berpelukan dan bercium dengan penuh ghairah secara terbuka," katanya ketika ditemui.
Tinjauan Berita Harian mendapati kegiatan maksiat secara terbuka itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu tanpa ada sebarang tindakan menghentikannya.
Melalui pemerhatian yang dilakukan antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam minggu lalu, penulis dapat melihat lebih daripada lapan pasangan berpelukan tanpa segan silu di tempat duduk yang disediakan pusat beli-belah berkenaan.
Difahamkan, walaupun kawasan itu dipantau setiap hari, pasangan kemaruk seks tetap menjadikan dataran terbabit sebagai lokasi pemanas badan.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Rafik berkata, kebanyakan pasangan terbabit dipercayai bertugas dengan syarikat swasta dan kakitangan kerajaan berhampiran.
"Saya hairan kenapa kawasan ini terus menjadi lokasi maksiat pasangan kekasih walaupun pemantauan pihak berkuasa dilakukan hampir setiap hari. Kita minta pihak berkuasa meningkatkan usaha mereka bagi menahan pasangan terbabit sebelum pasangan ini melakukan perbuatan yang lebih terkutuk," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani ketika dihubungi berkata, sejak awal bulan lalu, pihaknya sudah melakukan lebih 10 operasi termasuk tangkapan terhadap pasangan yang berkhalwat di sekitar negeri ini.
"Jaim akan membuat rondaan secara tetap terutama di kawasan tumpuan seperti di Dataran Pahlawan, Dataran Sejarah, Ujong Pasir dan Taman Tasik Ayer Keroh bagi memastikan tiada individu melakukan kegiatan tidak bermoral.
"Sesiapa yang melakukan perbuatan, berkelakuan dan berpakaian tidak sopan akan didakwa mengikut Seksyen 71, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya," katanya.
No comments
Post a Comment