Iklan Penjelasan Isu Royalti Yang Tidak Jelas!


HARI ini dua buah akhbar utama milik Umno telah menyiarkan semuka penuh iklan penjelasan mengenai tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan. Saya kurang pasti apakah akhbar berbahasa Cina, India, Arab dan Orang Asli turut sama menyiarkan iklan berkenaan. Semuka penuh berwarna di mana nilainya tidak kurang RM5,000.

Andaian saya sikit tersasar. Iklan berkenaan dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di mana Rais Jantan@Yatim adalah menterinya. Ada lapan (8) persoalan atau penjelasan dalam iklan berkenaan. Saya cukup yakin penjelasan berkenaan yang kononnya bersadarkan kepada perlembagaan dan undang-undang digarap dan disediakan oleh Rais Yatim.

Rais Yatim adalah seorang yang berkelulusan undang-undang ada memilik Phd.

Seperti mana saya agakkan iklan berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah. Kerajaan negeri Kelantan dan rakyat Kelantan tidak dapat menerima penjelasan berkenaan. Penjelasan berkenaan juga boleh dipertikaikan dari berbagai sudut. Saya rasa kalaupun bukan atas emosi yang membuak dan simpati kepada kerajaan Kelantan, penjelasan itu boleh ditolak. Tegasnya iklan berkenaan tidak memberikan markah tinggi kepada kerajaan dan Umno Kelantan khususnya.

Sebaliknya iklan itu akan dilihat sebagai cuba menegakkan benang basah saja. Benar seperti kata penjenguk blog saya, isu royalti minyak dan kedegilan Umno untuk terus menghukum kerajaan Pas Kelantan merupakan senjata yang akan membunuh Umno sendiri dalam pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Persoalan pertama dalam iklan berkenaan ialah mengenai perkataan "royalti". Menurut iklan berkenaan perkataan itu tidak diguna sebaliknya ia menggunakan perkataan "bayaran tunai". Ini bermakna hak 5% itu sepatutnya dibayar tunai oleh Petronas kepada kerajaan Kelantan.

Kedua, mengenai kelayakan mendapat 5%. Menurut iklan itu bayaran tunai sebanyak 5% itu akan dibuat kepada telaga atau hasil dalam lingkungan 3 batu nautika yang diukur dari paras air surut mengikut (Ordinal Kuasa-Kuasa Perlu) No 7 tahun 1969).

Penjelasan ini boleh diakui tetapi di dalam iklan itu tidak menjelaskan jarak kedudukan tiga plantar minyak di perairan Kelantan yang dituntut itu. Jika menerima pakai jarak seperti mana dijelaskan oleh Pengerusi Petroleum Kelantan, Husam Musa, jarak ketiga plantar berkenaan kurang daripada 3 batu nautika, malahan jarak sebuah plantar itu lebih dekat dari plantar di Terengganu. Kenyataan Husam itu bukan omong kosong sebaliknya berdasarkan kepada ukuran yang dibuat oleh firma yang bertauliah.

Kenapa iklan berkenaan tidak menjelaskan jarak dan kedudukan plantar-plantar berkenaan? Penyembunyian jarak ini menunjukkan ada yang cuba disembunyikan oleh iklan berkenaan tetapi sudah pun diketahui umum akan hakikatnya.

Ketiga, iklan menjelaskan hasil di luar 3 batu nautika menjadi milik kerajaan Persekutuan dan mana-mana kerajaan negeri tidak berhak menuntut. Ini diakui, dan kerajaan Kelantan hari ini tidak pun menuntut hasil minyak jauh dari 3 batu nautika dari perairan mereka. Rasanya kerajaan Kelantan pandai dan arif membaca undang-undang dan akta ini.

Keempat, iklan berkenaan menjelaskan bahawa Sarawak dan Sabah ada kuasa dan status tersendiri terhadap royalti minyak. Apa nak dijelaskan status yang diguna pakai Sarawak dan Sabah tidak valid untuk dipraktikan oleh Kelantan dan negeri-negeri lain.

Kelima, menjelaskan mengenai maksud wang ehsan. Iklan itu menjelaskan pemberian wang ehsan itu atas budibicara kerajaan Persekutuan. Menurut iklan itu pemberian ini diluar skop Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan kerajaan negeri pada 1975/1976. Pemberian itu atas kesedaran dan tanggungjawab berasas keprihatinan kerajaan Persekutuan.

Persoalannya dalam kes Kelantan ini kenapa kerajaan tidak menggunakan budibicara dengan memberikan keadilan kepada kerajaan Kelantan sekurang-kurangnya menyalurkan separuh peruntukan daripada 5% itu bukannya diberikan 100% wang itu kepada Umno atau JPP untuk diagihkan kepada rakyat!

Keenam, iklan itu menjelaskan Kelantan hanya diberikan RM20 juta saja, itu pun atas ehsan kerajaan Kelantan kerana kononnya penghasilan gas di luar 3 batu nautika negeri Kelantan. Logiknya kalau penghasilan itu di luar kawasan 3 batu nautika untuk apa wang ehsan itu diberikan. Bukankah dengan pemberian itu ia menimbul keraguan, kekeliruan dan dipolimekkan. Di sinilah menunjukkan pemberian wang ehsan atas prihatin Umno itu memakan diri sendiri.

Ketujuh, menjelaskan kenyataan dan pandangan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung hak Kelantan itu. Dalam penjelasan itu iklan itu cuba menjelaskan pandangan itu adalah pandangan peribadi Razaleigh yang tidak bersadarkan undang-undang. Penjelasan itu cuba menempelak Razaleigh yang sebelum ini pernah mengatakan negeri Terengganu tidak pun layak menerima wang ehsan. Dalam erti kata lain sebelum ini Razaleigh bersetuju dengan tindakan kerajaan hari ini.

Iklan itu cuba merendahkan Razaleigh yang mengubah pendiriannya. Kalau itu maksud orang yang mengeluarkan iklan berkenaan, beliau tidak berhak untuk menghuduhkan (memburukkan) Razaleigh kerana beliau sendiri telah berubah pandangan dan pendirian politik lebih 360 darjah.

Kelapan, iklan itu cuba menunjukkan Ketua Pembangkang mengetahui akan kedudukan royalti 5% itu. Iklan ini cuba menimbulkan bahawa Anwar Ibrahim juga tahu kedudukan berhubung dengan pemberian wang ehsan dan royalti minyak. Dalam erti kata lain Anwar juga pernah bersetuju dengan keputusan kerajaan hari ini.

Apakah tujuan mengaitkan pengetahuan Anwar itu? Kalau pun benar begitu dalam kedudukan hari ini, baik Anwar atau Tengku Razaleigh mereka bukan saja sedia mengubah pandangan dan pendirian hatta undang-udang berhubung pemberian itu juga akan turut diubah kerana demi untuk keadilan dan kesejahtraan rakyat. Dan apa yang Tengku Razaleigh lakukan itu adalah jihadnya untuk memberi kesejahtraan ke atas rakyat negeri kelahirannya.

Kesimpulannya iklan penjelasan itu tidak akan merubah persepsi terhadap isu yang kini sudah dipolitikkan oleh kedua pihak. Rakyat Kelantan dalam soal ini hanya membaca iklan berkenaan tetapi mereka tidak akan percaya dan merasai adil dengan apa yang diperjelaskan. Dan saya rasa ada rakyat Kelantan yang tidak dapat menerima penjelasan itu akan berak atas iklan berkenaan. [wm.kl. 11:30 am 21/02/10]

http://msomelayu.blogspot.com/



Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.