Kenyataan akhbar Sinar Harian – adalah dusta, ada agenda tersembunyi.

TEMERLOH: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal berita dalam sebuah akhbar harian yang kononnya memetik kenyataannya, sebaliknya ia hanya ulasan pihak editor akhbar berkenaan.

Serentak dengan itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu, melahirkan rasa kesal kerana menganggap ulasan tersebut mempunyai implikasi besar kepada dirinya dan parti.

Akhbar Sinar Harian bertarikh 21 Februari, (Ahad), pada muka surat 7 di bawah tajuk “Saya kini dalam dilema”, mengatakan Tuan Ibrahim kesal dengan sikap sesetengah pihak yang melabelkannya sebagai ‘tangan ghaib’ PAS yang mempunyai kuasa menyingkir sesiapa sahaja, termasuk pesaingnya pada pemilihan jawatan parti.

Kenyataan itu menyebutkan kononnya Tuan Ibrahim berkata dua tanggungjawab yang dipikulnya (Naib Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS) menyebabkan apa sahaja keputusan dibuat Lembaga Disiplin parti akan dianggap berat sebelah dan mempunyai agenda tersembunyi.

Tambah kenyataan itu, Tuan Ibrahim kononnya berkata, hendak diluahkan mati emak, mahu ditelan mati bapak, itu dilema yang menghantuinya sebagai pemegang dua jawatan berkenaan.

“Saya kesal akhbar Sinar Harian mengeluarkan kenyataan yang tak pernah saya ucap. Kenyataan yang direka sendiri oleh pihak editor dan dipetik seolah-olah saya yang bercakap mengeluarkan kenyataan,” ujarnya.

Menurut Tuan Ibrahim, apa yang sebenarnya ditanya oleh wartawan akhbar berkenaan melalui telefon ialah berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung PAS iaitu PAS Pusat bersetuju mempertimbangkan jawatan Pengerusi jawatankuasa Disiplin tidak dilantik di kalangan Ahli Jawatankuasa Pusat.

“Yang saya bagi respons ialah kita bersetuju supaya perkara tersebut dikaji dan diperhalusi oleh Jawatankuasa Pusat yang bakal bermesyuarat bulan depan”.

“Saya tak pernah timbulkan langsung perkataan berada dalam dilema. Jadi tulisan itu saya anggap berat, kerana gambarkan dua jawatan di peringkat pusat yang saya pegang dalam masa sama menyebabkan pelbagai andaian, termasuk sebagai tangan ghaib yang mempu menyingkirkan sesiapa pun termasuk pesaing saya dalam jawatan parti”.

“Sedangkan dalam PAS, perkara ini tidak timbul. Jawatankuasa Disiplin tidak pernah ambil tindakan terhadap sesiapa yang dianggap pesaing. Kita hanya akan dakwa orang yang terlibat ada kes, kita pun tak pernah pecat ahli,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, penulis berita berkenaan, Mohamad Fahd Rahmat telah pun menghantar SMS memohon maaf atas kesilapan yang berlaku kerana analisisnya menyebabkan salah faham sub-editor akhbar berkenaan.

“Kita harap pihak akhbar berkenaan bekerjalah dengan lebih profesional supaya perkara seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang kerana ia mendatangkan implikasi besar kepada peribadi dan kepada parti”.

Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.