Kenyataan Media: Jangan Julang Budaya Pembunuhan Karakter

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) terpanggil untuk memberi respon berikutan penangguhan perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berikutan permohonan peguam pasukan pembela Datuk Seri Anwar, YB Tuan Karpal Singh untuk melucutkan hakim sedia ada daripada mendengar kes ini. Ini berikutan keputusan hakim yang enggan mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas Utusan Malaysia pada perbicaraan kes itu.

AIC melihat wujud kecenderungan pemberitaan yang sangat negatif berikutan perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sejak awal minggu lepas. Kelihatan sebilangan media arus perdana dan tabloid misalnya, telah memainkan peranan sebagai ‘juri tersembunyi’ apabila menggunakan kepala tajuk yang bersifat tuntas yang terang-terangan menyerang peribadi Datuk Seri Anwar, sedangkan perbicaraan baru melangkah ke fasa permulaan prosiding dan belum sampai ke fasa pembelaan tertuduh.

Di sebalik teguran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa blog-blog harus melaporkan perjalanan kes ini dengan etika dan tanggungjawab, teguran yang sama juga harus diberi kepada media-media tradisional lainnya agar tidak terkecuali daripada etika yang sama.

AIC tidak menolak kemungkinan wujudnya elemen character assassination (pembunuhan karakter) yang sangat halus di sebalik pemberitaan ini yang jelas ditujukan kepada Datuk Seri Anwar, dalam keadaan kredibiliti Saiful Bukhari selaku penuduh masih mempunyai ruang untuk dipertikai.

AIC menghormati proses mahkamah dan prinsip keadilan yang sedang dilaksanakan, dengan syarat ianya dijalankan dengan penuh hemah dan tertib mengikut lunas perundangan yang betul. Demikian jugalah AIC berpegang teguh kepada prinsip perundangan bahawa “one is innocent until its proven guilty.” Ini sejajar dengan gesaan Al-Quran lewat surah Al-Baqarah ayat 111 yang antara lain membawa maksud “Katakanlah (wahai Muhammad): bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Di dalam sirah Khulafa Ar-Rasyidin, pernah seorang perempuan mengadu kepada Saidina Umar Al-Khattab kononnya dia dirogol oleh seorang lelaki kacak dengan memberikan bukti air mani yang melekat di kain dan pahanya. Saidina Umar kemudiannya minta pendapat Saidina Ali Abi Talib lalu Saidina Ali menuangkan air panas kepada cairan tersebut. Cairan itu membeku dan ternyata ia adalah putih telur. Perempuan itu kemudiannya dihukum kerana memfitnah.

AIC mendoakan semoga Allah SWT menunjukkan keadilanNya di hujung jalan, dengan budaya fitnah dan pembunuhan karakter seumpama ini dapat ditamatkan sama sekali.

Hidayat Saifudin

Timbalan Presiden AIC

Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.