KHALID SAMAD: Rayuan Saya

Sejak saya kembali ke tanah air, ada ramai pihak yang meminta saya untuk membuat rayuan berhubung hukuman jawatankuasa dislipin yang telah dijatuhkan terhadap diri saya, yang telah mengakibatkan jawatan-jawatan saya di dalam parti digantung selama 6 bulan.

Sama ada sedar atau tidak, sebulan telah hampir berlalu dan hanya 5 bulan sahaja lagi yang tinggal. Kalau saya mahu merayu pun, apa yang dapat dirayu? Supaya dikembalikan jawatan berkenaan? Saya fikir itu tidak perlu, kerana jawatan bukanlah sesuatu yang begitu penting bagi saya. Dengan izin Allah, tiada jawatan pun saya akan terus berusaha dan berjuang, kerana kita berjuang bukanlah kerana jawatan. Kita berjuang kerana yang Maha Berkuasa dan sesungguhnya Dia tetap wujud walaupun jawatan saya tidak wujud buat masa ini.

Namun demi memenuhi permintaan sahabat handai, yang jauh dan yang dekat, yang menelefon dan yang datang berhajat, saya dengan ini mengemukakan rayuan saya di sini kepada JKD dan PAS Pusat. Walaubagaimanapun, rayuan saya ini bukanlah berhubung hukuman yang dikenakan ke atas diri saya. Oleh itu, dengan penuh perasaan rendah diri, dua rayuan yang ingin saya kemukakan adalah seperti berikut:

1.RAYUAN PERTAMA – Buktikan Kejujuran PAS Dalam Kesepakatan
PAS adalah Parti Islam. Parti yang bertindak berdasarkan Al-Quran, Sunnah Rasulullah (SAW), Ijma’ dan Qiyas. Islam menghargai kejujuran dalam berpakat dan kesetiaan kepada perjanjian. Perjanjian Hudaibiyyah dan segala yang berlaku hasil dari perjanjian tersebut banyak mengajar kita berhubung persoalan ini. Jangan sekali-kali kita cakap lain, tetapi buat yang lain.

Sebagai Parti Islam, PAS sepatutnya merupakan rakan yang paling berpegang kukuh kepada janjinya sehingga parti lain akan merasa yakin akan kejujuran dan sikap setiakawan yang diberikan. PAS mesti merupakan parti yang meletakkan “kedua-dua kaki kita di dalam sampan yang sama” seperti pesanan TGNA dalam muktamar tahunan PAS di Ipoh pada 2008 yang lalu, dan bukanlah sebuah ‘parti oppurtunis’ yang mempunyai hubungan pintu belakang dengan pihak lawan. Dalam erti kata yang lain, sebelah kaki di sebuah sampan dan sebelah lagi di sampan orang lain. Bak kata orang putih, “Keeping our options open”.

Kejujuran dan sikap setiakawan mestilah dibuktikan, bukan sahaja dengan kata-kata tetapi juga dengan tindakan. Apabila PAS berlaku jujur terhadap rakan seperjanjiannya, untuk bersama dalam usaha membawa perubahan dan menegakkan keadilan, maka sesiapa jua yang ingin menjejaskan persepakatan ini mesti dikenakan tindakan yang tegas. Kalau tidak ianya akan menimbulkan persoalan sejauh mana kesungguhan PAS dalam usaha menjayakan PR. Dalam keadaan seperti itu, maka rakan serta semua yang mengikuti perkembangan politik negara berhak bertanya samada usaha menggagalkan PR itu direstui oleh para pimpinan PAS.

Manusia tidak mampu membaca hati dan niat pihak yang lain. Mereka hanya mampu menilai niat seseorang berdasarkan tindakan yang dilakukan.

Apabila yang membantah tindakan subversif dikenakan tindakan dan yang melakukan tindakan berkenaan hanya diberi amaran, kita tidak boleh menyalahkan masyarakat sekiranya mereka menganggap kita tidak jujur dalam berpakat. Amat malang sekiranya melalui tindakan PAS ini, imej perjuangan Islam itu sendiri tercemar. Islam akan dilihat sebagai agama yang tidak jujur dan tidak setia kepada perjanjian.

Maka rayuan saya yang pertama ialah supaya PAS membuktikan kejujurannya terhadap PR, ‘Once and for all’, secara muktamad dengan meletakkan kedua kakinya dalam sampan yang satu dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berusaha untuk mengkhianati perjanjian dan menggagalkan usaha ini.

2. RAYUAN KEDUA – Buktikan Kemampuan PAS Untuk Menegakkan Keadilan
PAS bukan lagi merupakan parti pinggiran yang hanya ingin mendapat sokongan dari kelompok masyarakat yang tertentu. PAS telah menjadi parti arus perdana dan ia perlu mendapat sokongan dari setiap sektor masyarakat. PAS mesti sedar bahawa ia sedang diperhatikan dan dinilai oleh semua. Cara PAS bertindak mesti menghasilkan keyakinan masyarakat umum terhadap kewibawaan PAS itu sendiri dan bukan sebaliknya.

Telah pun berlalu zaman di mana PAS hanya mengambil kisah pendirian ahlinya sahaja dan tidak mementingkan pandangan masyarakat umum. Telah berlalu zaman pada masa mana kita berkata “menang tak tentu, kalah dalam tangan”. Itu zaman semasa PAS parti pinggiran yang dilihat dan dinilai hanya oleh orang Islam yang mengaji pondok dan sekolah agama. Alhamdulillah, sekarang PAS dilihat dan dinilai oleh semua pihak dan inilah hasil yang diusahakan selama ini, iaitu masyarakat umum melihat pada PAS sebagai bakal pengganti kepada UMNO dan BN. Tetapi mereka akan hanya melihat PAS sebagai bakal pengganti kepada UMNO, sekiranya PAS mampu membuktikan bahawa PAS adil dalam tindakannya. Adil terhadap ahlinya, masyarakat Islam secara amnya dan juga masyarakat bukan Islam.

Untuk menjamin keadilan, maka perlu ada ketelusan. Mesti ada pertanggung-jawaban. Boleh disebut wala’, wala’, wala’ kepada ahli PAS (itupun kepada yang tidak faham konsep wala’ yang sebenar) tetapi apakah yang akan dikatakan kepada masyarakat umum? “Ini soal dalaman parti, kamu jangan masuk campur?” “Kamu tidak tahu, kamu jangan cakap?”

Ini merupakan jawapan-jawapan yang menangkis soalan, tetapi tidak menjawab persoalan, apatah lagi untuk menyelesaikan persoalan. Dan ianya bukan jawapan yang akan membina keyakinan terhadap kemampuan PAS untuk menegakkan keadilan. Proses pengadilan mesti telus dan mesti mampu bertahan apabila dipersoal. Soalan seperti apa kesalahannya dan mengapa ianya salah mesti mampu dijelaskan dengan tepat. Sebagai contoh, kalau dituduh membunuh seseorang dengan menggunakan bom C4 di dalam hutan, maka mesti disebut siapa orangnya yang dibunuh, apa motifnya, bila, di mana dan bagaimana. Kalau dituduh membocorkan rahsia, apa rahsianya, bila dan bagaimana. Bukan secara umum seperti yang ada sekarang.

Begitu juga dengan persoalan aduan. Adakah difikirkan tepat, SUA secara seorang diri layak dan berhak untuk menentukan sesuatu aduan itu bermerit atau sebaliknya? Tidakkah mungkin berlaku situasi dimana SUA sendiri bersetuju dengan tindakan yang diambil, walaupun tindakan khianat terhadap rakan pakatan dan maka oleh itu membakul sampahkan aduan tersebut? Bukankah aduan seperti yang dibawa oleh Saudara Abdullah Karim bahawa pimpinan PAS Selangor berusaha untuk mengkhianati MB Selangor dengan bantuan sebuah NGO dan Presiden NGO berkenaan pada ketika itu telah sanggup menjadi saksi keatas pertuduah tersebut merupakan aduan yang cukup serius.

Sekiranya ianya ditangani dengan cara sebegini, bagaimana PAS boleh meyakinkan rakyat bahawa ianya mampu menegakkan keadilan?

Kes ini diketahui ramai dan akan diketahui oleh ramai lagi. Lebih-lebih lagi sekiranya mantan Presiden NGO berkenaan sudah menjadi ahli PKR; parti MB Selangor. Tidakkah perkara ini akan diketahui pimpinan PKR? Tidak malukah PAS pada ketika itu bercakap “Ya kami bersama PR dan kami ikhlas kerana kami Parti Islam” sedangkan pimpinan PKR sudah tahu tentang usaha khianat pimpinan PAS Selangor?

Pimpinan PAS mesti sedar dan mengambil berat implikasi tindakan mereka kerana mereka sedang diperhatikan oleh seluruh masyarakat di negara ini. Jangan berpuas-hati dengan kemampuan mententeramkan ahli dengan ugutan “kerosakan yang akan menimpa parti”, sekiranya ahli bersuara. Maka bolehlah berpuas-hati dengan setakat itu sekiranya perjuangan yang dibawa adalah hanya sekadar untuk kekal sebagai pemimpin parti!

Tetapi adalah harus diingat, jika perjuangan yang dibawa adalah untuk membuktikan kebenaran dan keadilan Islam dan kemampuan PAS menegakkan keadilan, maka ketahuilah bahawa ianya sedang menuju kegagalan! Dan kegagalan ini akan membawa implikasi yang buruk terhadap imej perjuangan Islam dan Islam itu sendiri. Ini yang perlu difahami oleh mereka yang mengaku memperjuangkan Islam.

Biarlah ada ketelusan dan kepertanggung-jawaban. Ketelusan bererti semua melihat dan memahami bagaimana sesuatu keputusan dibuat. Kepertanggung-jawaban bererti apabila ditanya, maka dijawab dengan baik dan tepat sehingga menjadi jelas kebenaran dan ketepatan keputusan yang dibuat. Ini adalah prinsip keadilan yang diajar oleh Islam, bukan wala’ membabi buta berdasarkan thiqah terhadap pimpinan. Wala’ dan thiqah hanya ditekankan oleh pimpinan yang tidak mampu memberi penjelasan dan tidak mampu juga untuk mempertahankan keputusan mereka. Pada masa itu mereka akan berkata, wala’ dan thiqahlah wahai ahli yang disayangi, Allah akan memberkati kamu semua dan memberikan kepada kamu balasan pahala yang menggunung. Sedangkan pada ketika itu keputusan mereka meleset dan tidak adil.

Maka rayuan saya yang kedua kepada pimpinan PAS adalah “Masyarakat sedang melihat dan menilai, ketepikan kepentingan peribadi, zahirkan keadilan Islam!”

3. Kesimpulan
Dua rayuan yang saya kemukakan di atas barangkali tidak merupakan rayuan sepertimana yang diharapkan. Mungkin juga rayuan yang diinginkan adalah rayuan supaya hukuman terhadap diri saya ini diringankan. Saya tidak berhajat untuk merayu akan perkara itu. Hukuman itulah yang telah ditetapkan dan hukuman itulah yang akan saya lalui. Sekiranya ianya dianggap tidak adil, maka yang menghukum atau pihak yang lebih atas sahajalah yang akan membatalkannya. Sekiranya ianya dianggap adil, maka biarlah saya melaluinya dengan aman tenteram. Dan sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan segala sesuatu.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Terima Kasih kerana mengunjung. sudi-sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.